Jumaat, 11 Mac 2011

Zahid cabar pihak pertikai pembelian asset pertahanan bawa isu ke Parlimen

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Pihak-pihak yang mempertikai pembelian aset pertahanan negara hari ini dicabar agar membangkitkan perkara itu dalam persidangan Parlimen.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Hamidi yang membuat cabaran itu berkata ada anggota Parlimen yang didapatinya aktif menggunakan blog dan media sebagai pentas ‘‘membelasah’’ kementerian itu, namun mereka sebaliknya kelihatan seakan-akan ‘‘kecut perut’’ dan berdiam diri ketika di Parlimen.

Katanya beliau dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad sedia menjawab segala persoalan dan tuduhan yang dibangkitkan di Parlimen mengenai pembelian mana-mana aset pertahanan negara.

“Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua misalnya, dia hanya berani mencabar saya dan Kementerian Pertahanan di dalam blog sahaja tetapi bila di Parlimen, dia tidak bertanya walau satu soalan sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan wad veteran di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau juga mencabar Tony Pua dan mana-mana pihak yang mempunyai bukti penyelewengan pembelian inventori pertahanan negara agar melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menunjukkan dokumen sebagai bukti.

Tony Pua menerusi blog kendaliannya baru-baru ini mendakwa kos pembelian enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah 870 peratus lebih mahal berbanding pembelian sama oleh negara asing.

Ahmad Zahid berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu yang mempolitikkan soal pertahanan dan keselamatan.

“Mereka harus ada fakta yang benar, bukan hanya spinning dan putar belit fakta tertentu, dan mereka harus bersedia bersemuka dengan pasukan undang-undang kami di mahkamah jika tuduhan mereka menyeleweng dari fakta sebenar,” katanya.

Pada majlis itu Ahmad Zahid merasmikan wad veteran yang dipanggil Wad Bunga Raya di hospital berkenaan yang dikhaskan untuk veteran ATM yang menghidap penyakit kronik kekal dan kurang upaya kekal.

“Bagi mengenang jasa veteran ATM, wad ini disediakan khas bagi mereka, dan 24 katil disediakan di wad ini bagi kegunaan mereka mendapatkan rawatan termasuk pembedahan dan jika katil di wad ini tidak cukup, pesakit akan ditempatkan di wad lain,” katanya sambil menambah terdapat 280 katil secara keseluruhan di dalam hospital itu.

Ahmad Zahid berkata dalam perancangan akan datang, wad veteran yang sama juga akan dibuka di Hospital Angkatan Tentera Kem Terandak, Melaka dan Hospital Angkatan Tentera Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

Tiada ulasan: