Khamis, 3 Mac 2011

UTM bantu suruhanjaya hasilkan animasi gerakan Teoh jatuh

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menghasilkan animasi saintifik berkaitan pergerakan Teoh Beng Hock jatuh di Plaza Masalam di Shah Alam.

Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock memberitahu perkara tersebut hari ini dan UTM kini dalam proses melakukannya.

Pengerusi Suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata pegawai penyiasat Michael Leslie Squires kini sedang berunding dengan pihak UTM dan animasi tersebut diharap dapat memberi gambaran sebenar ketika kejadian.

“Kita telah minta penyiasat persendirian untuk berhubung dengan UTM bagi menjalankan rekonstruksi animasi saintifik mengenai bagaimana seseorang itu boleh jatuh melalui tingkat seperti itu dan bagaimana ia mendarat.

“UTM telah membayangkan dan bahawa mereka bersedia untuk menyertai projek ini dan ia boleh dilakukan dengan objek yang sama saiznya (tubuh Teoh). Saya harap semua pihak akan menyertainya dan memberi teori dan idea,” katanya.

Idea untuk menggunakan kaedah animasi ini tercetus selepas Pensyarah kanan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Prashant Naresh Samberkar mengemukakan teori bahawa Teoh berkemungkinan mencangkung di tepi tingkap sebelum jatuh, ketika prosiding semalam.

Selain Dr Prashant, Pakar Perunding Perubatan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang Dr Khairul Azman Ibrahim juga menyatakan teorinya bahawa Teoh mendarat dengan menggunakan kakinya terlebih dahulu dan beliau masih hidup beberapa minit selepas terjatuh.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, Khairul Azman yang disoal peguam Datuk Seri Mohammad Shafee Abdullah yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada beliau bersetuju dengan laporan kedua Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand, beliau berkata: “Pornthip bergantung kepada bedah siasat kedua dan kejadian telah lama berlaku. Ia sangat berbahaya.”

Khairul Azman turut bersetuju bahawa beliau dan Dr Prashant mempunyai kelebihan berbanding patologi lain kerana bedah siasat dilakukan ketika mayat masih ‘‘segar’’.

Ditanya pendapatnya mengenai laporan autopsi Pornthip (bedah siasat kedua) yang menyatakan terdapat dua kesan lebam pada leher mangsa, Khairul Azman berkata: ‘‘Beliau membuat laporan selepas bedah siasat dilakukan. Pada pemeriksaan pertama kesan itu tiada. Ia adalah disebabkan kesan bedah siasat pertama dimana lapisan leher telah dibuka dan ianya kesan darah beku.”

Mengenai soalan Muhammad Shafee berhubung reaksi semulajadi sekiranya seseorang itu dipukul di kepala dan berdarah, Khairul Azman berkata biasanya seseorang itu akan memegang pada bahagian yang berdarah itu dan darah akan meresap ke dalam kuku atau dijarinya.

Tetapi, katanya, dalam kes Teoh, tiada tanda sedemikian dijumpai malah kesan keretakan pada kepala adalah kesan jatuh dari tempat tinggi.

Di akhir prosiding hari ini, Foong sempat menegur wakil Majlis Peguam Christopter Leong kerana mengemukakan soalan kepada Khairul Azman seolah-olah dalam perbicaraan kes bunuh sedangkan prosiding ini adalah inkuiri.

“Ubah sikap anda. Ini merupakan satu inkuiri dan bukan perbicaraan. Kamu ada pandangan kamu. Dia pun ada pandangannya. Ini bukan satu kes di mana kamu perlu membuktikan keraguan yang munasabah. Kamu perlu ubah sikap. Jika kamu berkeras mengenai pandangan kamu, jadi perkara terbaik ialah untuk memanggil seorang yang telah mati untuk memberi keterangan,” katanya.

Selain Foong, Suruhanjaya Siasatan itu dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka’’.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan itu. Prosiding disambung esok.

Tiada ulasan: