Rabu, 16 Mac 2011

Suruhanjaya siasatan kes kematian Teoh personal system penyiasatan SPRM

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Siasatan bagi mengenal pasti punca kematian bekas setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock hari ini mempersoalkan sistem dan cara penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap saksi dan suspek.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen selaku pengerusi suruhanjaya itu berkata sistem penyiasatan yang memerlukan penyerahan dokumen kepada beberapa pegawai sebelum rakaman percakapan dibuat, adalah tidak logik.

Katanya berdasarkan siasatan terhadap Teoh, dokumen penting telah berada di dalam milikan Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Hairul Ilham Hamzah tetapi ia tidak diserah secara terus kepada Mohd Nadri Ibrahim yang perlu merakam percakapan Teoh, sebaliknya perlu menunggu Pegawai Penyiasat Mohd Anuar Ismail.

Beliau berkata sepatutnya tidak berlaku sedemikian kerana dokumen itu telah tersedia dan Mohd Nadri sepatutnya boleh terus merakam percakapan saksi.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang turut menganggotai suruhanjaya pula menyatakan proses menyoal dan merakam percakapan saksi terlalu banyak “saluran” dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Dalam prosiding hari ini Hairul Ilham yang merupakan ketua bagi dua pegawai yang menyoal Teoh pada Julai 2009, memberitahu sebelum rakaman percakapan dibuat, Teoh telah diminta meneliti dokumen selama dua jam oleh Penolong Penguasa SPRM Putrajaya Arman Alies dan Teoh juga perlu menunggu bagi merakam percakapannya menerusi Mohd Nadri.

Menjawab soalan Foong dan Abdul Kadir, saksi ke-22 itu berkata dokumen tidak diserah secara terus kepada Mohd Nadzri kerana beliau tidak mahu melibatkan “banyak tangan” dan pada fikirannya ketika itu, dokumen perlu diserah kepada Mohd Anuar.

Foong: “Kalau kamu kata tidak mahu campur tangan tapi kenapa kamu tidak beri pada Mohd Nadri.”

Hairul Ilham: “Sebab saya tidak mahu campur tangan banyak, jika saya beri pada pegawai perakam, saya tidak tahu pegawai penyiasat nakkan yang mana, pegawai penyiasat ada perancangannya.”

Abdul Kadir: “Kenapa banyak sangat saluran?”

Hairul Ilham: “Pada fikiran saya pada masa itu, itu saja.”

Foong: “Sistem anda tidak logik. Itu sebab saya tanya untuk diperbetulkan seperti ada fail (dokumen) dengan kamu tetapi perlu tunggu pegawai penyiasat datang.”

Hairul Ilham: “Susah saya nak cakap. Kami ada pembahagian tugas.”

Selain itu, seorang lagi anggota suruhanjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya turut mempersoalkan tindakan SPRM yang tidak mempunyai pegawai khas untuk mencatat kehadiran saksi atau suspek ke pejabat.

Pada malam yang sama Teoh disiasat, Anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah dan kontraktor Lee Wai Weng turut berada di pejabat SPRM dan tidur di situ.

Kepada soalan Mohamed Hatta: “Jika berlaku kebakaran, macam mana?” Hairul Ilham tidak memberikan sebarang jawapan.

Mohamed Hatta: “Kerana dalam beberapa hari ini, saya fikir, jika tikus pun dia tidak mahu duduk di situ sebab kalau terbakar mesti mati kat situ. Kat mana mereka tidur?”

Hairul Ilham: “Tidak pasti.”

Mohamed Hatta: “Kita bukan hendak menyalahkan sesiapa cuma nasibnya kamu yang berada di situ (kandang saksi).”

Kepada soalan adakah sistem SPRM perlu diubah, beliau berkata “tidak layak untuk saya berkata begitu.”

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan Foong supaya SPRM menyediakan kamera dan buku pelawat bagi mengetahui kehadiran saksi dan suspek di pejabat tersebut. Kamera dan buku pelawat tidak disediakan sebelum ini.

Kepada soalan Foong mengapa Teoh tidak dibenarkan ke pejabatnya untuk mengambil beberapa dokumen pada malam beliau disiasat, katanya dokumen itu hanya sampingan dan ia boleh dirujuk menerusi pejabat daerah sekiranya projek telah dilaksanakan.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan meminta Teoh menunggu untuk merakam percakapan bukan untuk menahannya malah ia adalah prosedur biasa yang perlu dilalui oleh saksi bagi mana-mana kes.

Sementara itu kenyataan Hairul Ilham, yang menganggap kes melibatkan Teoh ini adalah kes sensitif, telah ditempelak oleh Abdul Kadir dan seorang lagi anggota suruhanjaya bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan.

Abdul Kadir yang mengibaratkan kes itu sebagai “ikan bilis” berkata SPRM sering diberi gambaran mengambil tindakan ke atas ‘‘ikan bilis’’ dan sesuatu harus dilakukan bagi mengubah tanggapan itu.

“Ia jumlah yang kecil (libatkan projek RM10,000). Kitapun tidak suka dengar yang kamu (SPRM) pergi pada ikan bilis sahaja. Gambarannya begitu. Perlu pergi kepada imej yang lebih baik,” kata Abdul Kadir.

Hairul Ilham juga memberitahu prosiding itu bahawa selepas sampai di pejabat SPRM pada 17 Julai 2009, beliau dan Mohd Anuar cuba mencari Teoh selepas menjumpai telefon dan beg sandangnya di sofa tetapi tidak menemuinya.

Pada anggapannya ketika itu, Teoh telah pulang ke rumah ataupun Teoh ke pejabat untuk mengambil dokumen dan akan kembali ke pejabat SPRM untuk menyerahkannya.

Hairul Ilham, yang kerap memberi jawapan menggunakan perkataan ‘‘mungkin’’, juga ditegur oleh Mohamed Hatta kerana ia bagaikan menunjukkan sesuatu andaian dan beliau sepatutnya yakin dengan jawapannya.

Beliau juga ditegur oleh Foong ketika menjawab beberapa soalan berkaitan cara penyiasatan SPRM dan diingatkan supaya memberi jawapan yang munasabah serta tidak was-was.

Teoh, 30, bekas setiausaha politik Exco Selangor dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Kembangan Ean Wong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, Abdul Kadir, Selventhiranathan dan Mohamed Hatta, suruhanjaya itu turut dianggotai Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Prosiding disambung esok.

Tiada ulasan: