Jumaat, 4 Mac 2011

Siri 03: Kerdau bakal terus tersudut

Dr. Dzulkefli Ahmad

Memasukki hari ke-6 berkempen, MB Pahang tentunya menyesal tak sudah-sudah mencabar PAS kononnya ketandusan modal untuk berkempen. Beliau kini semacam terpaksa dikenakan ’rawatannya sendiri’ atau bak pepatah Inggeris “a taste of his own medicine”. Dalam bahasa pasarnya, padan muka dia.

Setelah 53 tahun merdeka, bandar ’cowboy’ Kerdau dalam kawasan Kuala Krau, baru disedari wujud dalam Persekutuan Malaysia ini. Pimpinan Umno/BN sewajarnya malu dan kesal betapa sebuah DUN yang bernama Kerdau bahkan seluruh Kawasan Parlimen Kuala Krau tersudut dan terpinggir dalam arus pembangunan negara. jauh dari kerancakan perkilangan yang menjana pekerjaan dan pendapatan buat pihak berkuasa tempatan. Kini Kerdau diancam nasib yang sama untuk beberapa dekad lagi.

Pelik tetapi benar, bagaimana segala pendedahan pengurusan bobrok Adnan Yaakob, masih boleh dia nafikan mentah-mentah, meskipun yang mengkritik dan mendedahkan kepincangan pengurusan beliau bukanlah akhbar Harakah, Rocket atau Suara Keadilan.

Yang mendedahkan kebobrokan dan kebejatan pengurusan tempang beliau adalah Laporan Ketua Audit Negara di bawah kepimpinan Tan Sri Amrin Buang. Setiap tahun telah beliau nyatakan bahawa bagaimana pun yang didedahkan, tetap akan berulang segala ketirisan dan kebocoran akibat pelbagai pengkhianatan wang rakyat dalam ’sistem ’penghantaran’ pemerintahan negara ini.

Meskipun ia adalah kesalahan golongan birokrat, ramai yang berdaleh begitu, tetapi kesemua kementerian adalah dipimpin oleh pimpinan orang politik. Tidakkah bagai dek kata pepatah Cina, ”Ikan busuk dari kepalanya?”.

Adnan tidak segan-segan menyatakan negeri Pahang tidak akan bankrap kerana Pahang boleh pinjam dari kerajaan Pusat. Dengan sikap dan mentaliti itulah MB Pahang ini terus-terusan telah meningkatkan hutang dari tahun 2005- RM1.59 bilion, tahun 2006- RM1.72 bilion, tahun 2007- RM1.91 bilion, tahun 2008- RM2.07 bilion dan tahun 2009- RM2.17 bilion.

Meneliti Laporan Ketua Audit Negara akan menyelak pelbagai kebejatan pengurusan pentadbiran beliau sepertimana telah didedahkan oleh Siri 01 dan Siri 02 penulisan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri atas isu Pembalakan, hasil mahsul yang sepatutnya mengkayakan kerajaan negeri tetapi telah benar-benar menjadi ”Bala” , iaitu Spag’n Plantation Sdn. Bhd [ RM 209 juta ] dan Upayapada (M) Sdn Bhd [ RM 24 juta ] . Rakyat bakal menganggung serta membayar saman ini, bukan duit Adnan Yaakob!

Begitu juga disamping pembalakan, kebejatan akibat pencerobohan perlombongan, pencerobohan hutan dan sungai (pasir) mengakibatkan kerugian pendapatan dan kemusnahan alam sekitarnya. Bayangkan kalau ia berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat tentunya telah dimuat dimuka depan akhbar perdana BN.

Mungkin rakyat Pahang wajar tahu bahawa Adnan mudah-mudah menepis kritikan bahawa MB Pahang pada tahun 2007 membeli beli plat kereta CCC 9 dengan harga RM48,000. Mungkin ada yangmenyanggah apa sangat kalau dibanding dengan harga sebuah bilik hotel 7 bintang semalam isteri PM yang mencecah lebih RM100,000.

Semua itu telah menjadi mangli kepada segelintir pemimpin tertinggi negara ini, justeru kerana rakyat tidak peduli kerana terus menyokong beliau. Begitu juga apabila Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa sebuah ’Armchair Nyatoh Timber Leg’ yang hanya berharga RM990 di pasaran, dibeli dengan harga kontrak RM3,530. Begitu juga perolehan sebuah ’spiral pendant light’ yang berharga maksima di pasaran RM9,200 di beli dengan harga RM38,700.

Kesemua kebejatan yang ditakrifkan sebagai ’tidak memuaskan’ oleh Laporan Audit ini telah menjadi ’mangli dan ’biasa-biasa’ sahaja bagi seorang MB yang tahu bahawa beliau akan di’bail-out’ oleh Kerajaan Pusat akhirnya. Ke begitu?

Malang segala-segala ini akan berulang sehinggalah rakyat akan bangkit untuk menyatakan ”Cukupdah Kebejatan Ini”, sementara golongan muda yang lebih cerdik akan melaungkan ”Enuf is Enuf” seperti mana rakyat di negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat lakukan dalam PRU ke-12 lalu.

Sehingga itu berlaku, Presiden Umno dan Menteri Besar Pahang tahu dan ’yakin’ bahawa rakyat dan pengundi Melayu khususnya di Felda akan tetap setia dengan Umno. Justeru itu, mereka mesti digula-gulakan dan didodoikan sampai bila-bila. Mereka mesti kepong dari mendapat maklumat alternatif dari media baru kerana akan berlaku ’tsunami besar’ pada PRU ke-13 andainya ”pencerahan minda dan kemerdekaan jiwa” berlaku.

Andainya golongan peneroka memahami bahawa tidak boleh selama-lamanya menjadi ’Peneroka’, maka akan berlaku ’kebangkitan besar’. Mereka wajar digerakkan dan dikejutkan bahawa kini mereka mesti bergelar ”Pemilik dan Tuan”. Kerajaan perlu kikis dan ubah mindset ini. Sebab itu mereka sentiasa dimangsakan. Dah 50 tahun masih lagi meneroka! Tuan dan pemilik ini perlu disedarkan bagaimana Felda Plantation menjadi sebuah korporat besar sementara mereka masih terperangkap dengan kepompong regim pendapatan RM1,500.

Maklumat akan menerangkan kepada mereka baahwa ada kawan-kawan seangkatan dengan mereka sudah merdeka dan memenangi kes-kes di Mahkamah. Mereka baru sahaja diberitahu ANAK bahawa kewujudan Felda Plantation sebagai entiti korporat menyanggahi dan berlawanan dengan peruntukan Akta Penempatan Berkelomppok , 1960 (GSA).

Adnan hanya akan berada di ambang bahaya, apabila rakyat dan pengundi di Kerdau dan Pahang celek! Beliau tahu beliau akan menang sekali lagi. Tetapi sampai bila mahu begini?

Selagi itu Adnan masih boleh hidup dalam penafian dan terus berbohong!

Dr Dzulkefly Ahmad adalah AJK PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

Tiada ulasan: