Isnin, 28 Mac 2011

Selangor Tidak Pernah Lulus Pembangunan Komersial Subang Ria, Kata Khalid

TVS NEWS


SUBANG JAYA : Kerajaan Negeri Selangor akan menulis surat kepada Sime Darby Properties untuk mengemukakan bantahan penduduk Subang Ria berhubung pembangunan tanah seluas 19 ekar bagi tujuan komersial.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut memaklumkan, kerajaan negeri juga tidak pernah memberikan sebarang kelulusan mahupun kuasa kepada Sime Darby untuk memasukkan tanah seluas 7.6 hektar itu untuk dibangunkan.

"Kerajaan negeri dalam perbincangan telah bersetuju untuk menunjukkan satu draf yang boleh digunakan untuk pembangunan 'low rise' bagi memberikan hasil yang boleh membantu Sime Darby memulangkan 50 ekar tanah sebagai taman rekreasi awam yang terancang serta dipulihkan bagi kegunaan penduduk di bawah pemerhatian MPSJ," kata Khalid pada majlis dialog bersama penduduk Taman Subang Ria semalam.

Beliau juga dalam satu kenyataan media memberitahu, pembangunan di kawasan berkenaan juga harus dihentikan kerana mengambil kira bantahan penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit.

"Selepas diteliti secara perinci syarat-syarat rancangan tempatan, didapati kawasan seluas 19 ekar yang dicadangkan itu tidak sepatutnya dibangunkan untuk pembangunan komersil.

"Sehubungan itu, selepas proses ini, rancangan pembangunan komersil di tapak seluas 19 ekar akan dikeluarkan dari Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2020, bermula Sabtu," katanya.

Khalid semalam mengambil kesempatan bertemu penduduk Subang Ria bagi menjelaskan kedudukan sebenar berhubung isu tanah berkenaan.

Jelas Khalid, setelah diteliti pihak kerajaan negeri mendapati Sime Darby juga dilihat cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan nilai hartanah daripada RM3.6 juta kepada RM167 juta tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama Jawatankuasa Perancangan Negeri.

"Kita sudah adakan perbincangan, apa-apa tindakan yang hendak dilakukan haruslah mengikut harga yang munasabah. Kerajaan negeri telahpun menubuhkanJawatankuasa Perancangan Negeri yang diketuai oleh Hannah Yeoh bagi membincangkan nilai hartanah selain berusaha membuat perjumpaan bersama Sime Darby bagi menyelesaikan isu ini serta mengambil kira pandangan awal Sime Darby melalui perjanjian yang dilakukan,"katanya lagi.

Turut hadir pada majlis sama adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh GwoBurne , Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid danwakil ahli Majlis.

Sime Darby dalam laporan kewangannya sebelum ini menyatakan penjualan nilai hartanah tersebut adalah berjumlah RM3.6 juta sebelum menaikkannya kepada RM167 juta.

Tiada ulasan: