Khamis, 31 Mac 2011

Sedutan ucapan Azmin Ali dalam Mesyuarat DUN Selangor

MERDEKA REVIEW

Hak Orang Asal

47. Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor memelihara hak Orang Asal adalah bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri berpegang teguh kepada prinsip keadilan untuk rakyat. Langkah Kerajaan Negeri menubuhkan Badan Bertindak Tanah Orang Asal (BBTOA) bertujuan untuk menyelesaikan masalah tanah yang menghambat Orang Asal merupakan satu tindakan pro-aktif. Kerajaan Negeri telah melaksanakan program pemetaan tanah Orang Asal, kempen kesedaran Akta 134 berhubung Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asal serta Program Perumahan Rakyat Termiskin untuk Orang Asal.

48. Saya ingin membawa perhatian Dewan kepada masalah orang-orang Asal di Bukit Kala, Batu 12 Gombak. Menurut sejarah, pada awal tahun 1956, seramai 350 orang remaja Orang Asli dari Semenanjung Malaysia telah ditempatkan di Pusat Kesihatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Gombak. Belia-belia ini diberikan latihan dan kursus untuk meningkatkan kefahaman di kalangan masyarakat Orang Asli.

49. Kini, kampung ini yang diterokai pada tahun 1956 telah berkembang pesat dengan kepadatan penduduk meningkat kepada lebih 3,500 orang. Masalah yang kritikal sekarang ialah tanah penempatan bagi lebih 550 keluarga ini yang semakin sesak dan tidak dibangunkan dengan kemudahan yang baik. Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya dapat diberikan perhatian segera kepada masalah yang sudah berlarutan terlalu lama.

Inflasi dan Harga Barang Naik

50. Ekoran tindakan Kerajaan Pusat menaikkan harga petrol melalui program rasionalisasi subsidi, harga barang telah melonjak naik dan memberi kesan yang amat membebankan rakyat khususnya kepada yang berpendapatan rendah. Tindakan kerajaan menarik balik atau mengurangkan subsidi terbukti menyumbang kepada kenaikan kadar inflasi di negara ini.

51. Kadar inflasi yang meningkat kepada 2.2% pada Disember 2010, merupakan kadar tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kajian Bank Negara Malaysia menjangkakan kadar inflasi dijangka berada di antara 2.5 hingga 3% pada tahun 2011 dan 2012. Kadar inflasi ini dijangka akan terus meningkat ke 4%.

52. Indeks Harga Pengguna (IHP) terus meningkat tahun demi tahun dengan kadar 0.6% (Januari 2008 - Januari 2009), 1.7% (Januari 2009 - Januari 2010) dan 2.4% (Januari 2010 - Januari 2011).

53. Antara kumpulan barangan yang naik mendadak adalah makanan dan pengangkutan. Harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol pada bulan Januari 2011 telah naik sebanyak 3.6% jika dibandingkan setahun yang lepas. Pada tempoh masa yang sama, indeks harga pengguna dalam kumpulan pengangkutan telah naik sebanyak 4.6%. Kenaikan harga barangan asas inilah yang menekan kehidupan rakyat terbanyak termasuk di Negeri Selangor.

54. Sebagai contoh, harga bawang kecil dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda berbanding harga asal iaitu RM4 sekilogram kepada RM11 sekilogram. Harga ikan kembung di Pasar Selayang melonjak naik hampir 50% daripada RM8.00 sekilogram ke RM14.00 sekilogram dalam masa sebulan sahaja daripada 21 Februari 2011 dibandingkan pada 25 Mac 2011.

55. Walaupun penetapan harga barangan asas ini di bawah kawalan Kerajaan Pusat, namun saya merasakan Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk mengambil beberapa inisiatif bagi mengurangkan beban pada rakyat khususnya di luar bandar.

56. Tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" adalah retorik politik. Kerajaan Pusat tidak berganjak daripada dasar membela kroni yang menjadi tuan di negara ini.

57. Subsidi untuk Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang berjumlah RM15.1 bilion setahun tidak disentuh tetapi subsidi barangan asas seperti tepung, gula, minyak masak, gas memasak serta petrol ditarik balik. Bertambah parah, Kerajaan Pusat tidak mampu menghalang ketirisan yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara Tahun 2008 yang berjumlah RM28 bilion.

58. Bank Negara Malaysia juga melaporkan bahawa sehingga bulan November 2010, hutang isi rumah telah mencatatkan RM577 bilion ataupun 74% daripada KDNK. Daripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Hutang kad kredit mencecah hampir RM200 bilion. Masalah ini berpunca dari kegagalan Kerajaan Pusat untuk melihat kenaikan gaji dalam konteks menjana disposable income atau pendapatan boleh belanja.

59. Masalah ini bertambah rumit apabila kenaikan gaji di Malaysia pada kadar yang terendah di rantau ini iaitu hanya sekitar 2.6% di antara tahun 1994 sehingga 2007 berbanding dengan Thailand dan Indonesia yang mencatatkan kadar kenaikan sebanyak 10 % dalam tempoh 8 tahun.

60. Lebih membimbangkan lagi hutang Kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Dalam tahun 2010, Kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion. Pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru Kerajaan Pusat berjumlah RM83 bilion kepada RM445.39 bilion.

61. Justeru, Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga, garapan kebijakan khusus membahaskan isu ekonomi makro dan juga langkah-langkah berani untuk menjamin ekonomi yang mampan dan kesejahteraan rakyat. Buku Jingga telah mengupas perkara ini dengan panjang lebar dengan mengkritik program-program yang bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada usaha untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara. Perubahan yang agresif mesti dilaksanakan demi merungkai beberapa mitos ekonomi yang dicipta UMNO: antaranya, hanya merekalah yang berjuang demi kepentingan Orang Melayu. Sedangkan hakikatnya 40% dari rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia. Lebih mengejutkan dan menyedihkan tiga daripada empat keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu atau Bumiputera.

62. Maka, apakah peranan Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan bebanan rakyat untuk mendapatkan barang-barang asas bagi keperluan keluarga mereka khususnya yang berpendapatan rendah?

63. Kerajaan Negeri perlu meneroka beberapa langkah untuk mencapai matlamat di atas. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dapat melantik beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri untuk membeli bahan makanan secara pukal dan menyimpan stok makanan asas dan kemudiannya menjual kepada rakyat pada harga yang lebih rendah melalui setor bergerak ke setiap daerah dalam Negeri Selangor.

Sistem pengangkutan awam yang bersepadu

64. Kementerian Pengangkutan berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan pengguna terhadap kenderaan persendirian dan meningkatkan jumlah pengguna sistem pengangkutan awam daripada 240,000 ke 600,000 pada tahun 2012.

65. Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri perlu menjalin kerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mewujudkan pelan induk sistem pengangkutan awam yang bersepadu, efisien dan menyeluruh.

66. Pembangunan Greater Kuala Lumpur yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat tidak boleh mengenepikan peranan Selangor kerana sebahagian besar daripada Greater KL berada di dalam wilayah Lembah Klang dan Selangor. Greater Kuala Lumpur melibatkan 10 PBT di mana 8 daripadanya di dalam Negeri Selangor iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang. Kerajaan Pusat perlu memberikan peranan yang lebih besar kepada Negeri Selangor dan mengambil kira pandangan pentadbiran Negeri Selangor dalam perancangan ini supaya tidak wujud pertindihan jajaran dan juga boleh menjimatkan kos prasarana bagi kepentingan rakyat.

67. Projek MRT dijangka akan membabitkan perbelanjaan mencecah RM55 billion menjelang ia beroperasi dalam tahun 2016/2017. Ia akan dibiayai melalui penerbitan bon. Sebahagian besar dari laluan projek MRT tersebut adalah merentasi Selangor, maka kesan yang paling besar adalah ke atas rakyat Selangor.

68. Selain dari kesan fizikal seperti pengambilan tanah, impak ke atas trafik di Lembah Kelang sepanjang pembinaan berlaku dan tiada jaminan ia akan berjaya menyelesaikan masalah kekusutan trafik di; persoalan yang lebih besar adalah bebanan hutang yang akan ditanggung oleh rakyat untuk berpuluh tahun yang akan datang.

69. Najib mengumumkan bahawa projek MRT akan dikendalikan sepenuhnya secara telus dan kontrak akan dibuka untuk bidaan. Najib juga mengumumkan perlantikan konsortium Gamuda-MMC sebagai “Project Delivery Partner” (PDP). Sebagai PDP, Gamuda-MMC bertanggungjawab menguruskan keseluruhan projek termasuklah :

  • Menentukan spesifikasi projek dan menetapkan aspek teknikal – maka kos keseluruhan projek MRT ini sebenarnya ditentukan oleh Gamuda-MMC.
  • Menyediakan dokumen tender bagi setiap pakej untuk dibuka bagi bidaan kepada sub-kontraktor
  • Menjalankan proses tender untuk memilih sub-kontraktor bagi setiap pakej
  • Mengawalselia pelaksanaan projek sebagai pengurus projek

70. Fakta yang disembunyikan dari rakyat adalah hakikat bahawa keseluruhan kertas cadangan mengenai MRT disediakan oleh Gamuda-MMC. Konsortium inilah yang mencadangkan bentuk pembinaan, laluan jajaran, konsep pembangunan dan lain-lain.

71. Oleh itu, maka Gamuda-MMC mempunyai sepenuh kebebasan untuk menentukan berapakah kos keseluruhan projek kerana spesifikasi teknikal projek juga ditentukan oleh mereka. Selain itu, Gamuda-MMC juga telah diberi kebenaran untuk turut serta sebagai sub-kontraktor bagi pakej bawah tanah yang dijangkakan sebanyak 7 pakej. Pakej ini adalah pakej yang terbesar dan termahal kerana melibatkan kerja-kerja mengorek terowong.

72. Oleh itu, konsep PDP yang dibawa ini tidak lebih dari nama baru yang diperkenalkan untuk meneruskan amalan lama direct negotiation dan menganugerahkan projek mega kepada syarikat kroni. Namanya berbeza, tetapi amalan dan risiko yang ditanggung oleh rakyat adalah sama.

73. Berdasarkan latar belakang ini, maka risiko-risiko yang ditanggung rakyat akibat konsep PDP adalah seperti berikut :

  • Konsep, pelan dan laluan MRT yang dicadangkan oleh Gamuda-MMC mungkin tidak bersandarkan kepada keperluan sebenar rakyat kerana motif Gamuda-MMC adalah untuk memaksimakan keuntungan.
  • Oleh itu, spesifikasi teknikal yang dicadangkan oleh Gamuda-MMC mungkin lebih mahal dan tidak diperlukan, tetapi dimasukkan untuk membolehkan kos yang ditanggung rakyat melonjak.
  • Maka, kos yang dijangka RM55 billion (awalnya RM36.6 billion tidak termasuk kos pengambilan tanah dan rolling stock, akhir-akhir ini mengambil kira pakej bawah tanah dan rolling stock dijangkakan mencecah RM55 billion) disebabkan banyaknya spesifikasi yang tidak diperlukan.
  • Perlantikan Gamuda-MMC juga menimbulkan conflict of interest yang besar apabila mereka jugalah yang bertanggungjawab mengawalselia proses pembidaan pakej-pakej bawah tanah, sedangkan mereka dijangka menjadi pembida utama.
  • Ini merupakan satu amalan yang bertentangan dengan prinsip tatakelola yang baik dan terdedah kepada amalan rasuah yang kronik.

74. Jangkaan ramai pihak adalah pengenalan konsep PDP ini adalah satu cara untuk menghalalkan projek MRT yang akan digunakan untuk mengayakan ahli politik UMNO dan Barisan Nasional di samping mengumpul dana bagi Pilihan Raya yang akan datang.

75. Bebanan kewangan kepada rakyat boleh dirujuk dengan mengambil contoh pelaksanaan projek-projek LRT (Putra dan Star) yang akhirnya terpaksa diambil alih oleh kerajaan. Semasa mula-mula dilaksanakan, kos projek LRT keseluruhannya adalah RM4 billion dan diswastakan kepada Renong dan syarikat yang dimiliki oleh Vincent Tan. Walau bagaimana pun, akibat krisis kewangan 1997, kedua-dua projek mengalami masalah.

76. Pada tahun 2001, kerajaan menubuhkan sebuah syarikat milik kerajaan iaitu Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) yang mengambil alih kedua-dua aset. SPNB terpaksa membayar pampasan dan menanggung hutang yang diambil alih dari Renong dan Vincent Tan. Kos keseluruhan pengambilalihan LRT berjumlah RM7 billion yang masih lagi belum berbayar hingga tahun ini.

77. Ini gambaran kos dan bebanan hutang yang akan dihadapi oleh rakyat – sedangkan kos LRT yang hanya berjumlah RM7 billion masih belum berbayar selepas 10 tahun, apakah nasib generasi akan datang yang berdepan dengan hutang RM55 billion untuk projek MRT ini?

78. Kerajaan Negeri Selangor adalah satu-satunya pihak yang mempunyai kuasa dan suara untuk memastikan projek MRT menjamin kepentingan rakyat. Oleh itu, saya mencadangkan Kerajaan Negeri untuk melantik sebuah badan perunding yang dianggotai pakar-pakar dari NGO, Kerajaan Negeri dan firma kejuruteraan dan juruukur bahan untuk menyemak kos sebenar keseluruhan projek dan dibayar oleh Kerajaan Selangor. Ini adalah untuk memastikan tidak ada unsur-unsur pertambahan kos yang tidak perlu akibat tiadanya ketelusan dan amalan kronisme dalam penganugerahan projek kepada Gamuda-MMC.

79. Kerajaan Negeri harus meletakkan syarat bahawa kerjasama dalam pengambil alihan tanah termaktub kepada persetujuan Kerajaan Pusat untuk membentangkan dan menerimapakai maklumbalas yang diberikan oleh Kerajaan Negeri mengenai perlaksanaan projek dan pelan keseluruhan pengangkutan awam bagi Lembah Klang.

*Sedutan ucapan Mohamed Azmin Ali (gambar kiri) selaku ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa dalam Mesyuarat Pertama (Pembukaan) penggal keempat, DUN Selangor ke-12.

Tiada ulasan: