Khamis, 3 Mac 2011

Sambutan ulang tahun ke-3 PR Selangor 5, 6 Mac

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Majlis pelancaran Buku Jingga dan sambutan ulang tahun ketiga kemenangan Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Kerajaan Negeri Selangor akan diadakan pada 5 dan 6 Mac ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, kedua majlis akan berlangsung di Stadium Malawati, dekat sini, akan dihadiri berbagai kalangan rakyat.

Katanya, pelancaran Buku Jingga pada 5 Mac ini oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diawali dengan solat Maghrib berjamaah diikuti dengan ucapan daripada pemimpin tertinggi PR.

Menurut Dr Hasan, Selangor boleh menjadi role model dalam usaha mencapai Negeri Idaman; Maju, Sejahtera dan Berkebajikan dengan memberikan kebajikan dan mengembalikan hasil negeri ini sebagai hak rakyat.

Program pemberian 20m padu pertama air secara percuma kepada semua rakyat yang berhak menerimanya adalah salah satu tanda kesungguhan Kerajaan Selangor bertindak, jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Exco di Bangunan SUK, di sini petang tadi yang turut disertai Abdul Khalid.

"Sebanyak dua puluh lapan jabatan dan agensi kerajaan seperti JAIS, Unisel, Padat dan dua belas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memberkan kerjasama menjayakan sambutan pada kali ini," tambahnya.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Majlis Pelancaran Buku Jingga dan Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Maklumat penuh mengenai sambutan ini boleh diperolehi dengan melayari laman web www.selangor.gov.my.

Terdahulu dalam sidang medianya pada minggu lalu, Abdul Khalid berkata, sambutan tahun ketiga ini akan berlangsung secara sederhana tetapi meriah.

Pelbagai acara, ujarnya, disediakan untuk orang ramai antaranya, pameran agensi kerajaan dan swasta, program remaja termasuk futsal, ceramah perdana oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk pemimpin negeri.

Selepas Solat Maghrib berjemaah, akan berlangsung pelancaran Buku Jingga yang mengandungi Dasar Bersama dan komitmen Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan kepada rakyat dan negara, tambahnya.

Hujung tahun lalu, Pakatan Rakyat mengemukakan Buku Jingga mengandungi sepuluh perkara jaminan seperti reformasi institusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan sistem pentadbiran kerajaan.

Jaminan itu juga meliputi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad, KWSP dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol;

Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti gas sebanyak RM19 bilion kepada penjanan bebas dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat;

Mengiktiraf peranan dan jasa awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru mendidik bangsa;

Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan;

Menyediakan perkhidmatan internet wi-fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa rakyat;

Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda dan;

Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di Negeri Sabah.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Buku Jingga yang dilancarkan oleh pembangkang mengandungi beberapa janji jika mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang, hanyalah satu umpan politik.

Beliau berkata pembangkang mampu membuat pelbagai janji untuk memancing undi rakyat kerana mereka bukan kerajaan yang memerintah negara pada masa ini.

"Bila tak ada kuasa memanglah boleh buat janji macam-macam, kalau dia menang pun bukan dia nak jadi kerajaan pusat. Kalau tak jadi kerajaan pusat dia tidak boleh buat apapun, jadi bolehlah janji," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, pemimpin PR pula menyifatkan apa yang diumumkan oleh BN mutakhir sebagai meniru kandungan Buku Jingga seperti hapuskan satu tol, baru-baru ini dan berikan imbuhan kepada guru-guru.

Mereka mencabar Perdana Menteri Najib khususnya dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin menyahut cabaran berdebat bagi membuktikan kekuatan Buku Jingga dan menafikan dakwaan BN, negara muflis jika ia dilaksanakan.

Tiada ulasan: