Khamis, 10 Mac 2011

RM30,000 Plan Takaful Untuk Ketua Kampung Selangor

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kerajaan negeri menyediakan plan perlindungan takaful bernilai RM30,000 kepada setiap ketua kampung di Selangor bermula hari ini sekaligus menjadikan Selangor muncul sebagai negeri pertama di negara ini yang menawarkan skim berkenaan kepada golongan itu.

Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahaawan, Dr Yaakob Sapari berkata, tugas dan komitmen Ketua Kampung pada masa ini semakin mencabar dan memerlukan mereka dilindungi daripada sebarang kemungkinan.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri berpendapat adalah wajar setiap ketua kampung diberikan perlindungan takaful secara berkelompok.

“Sebagai satu sokongan kepada ketua-ketua kampung seluruh negeri Selangor kerajaan negeri Selangor meluluskan skim takaful perlindungan Ketua Kampung, Ketua Kampung Tradisi, Ketua Kampung Baru, Ketua Komuniti India, Ketua Kampung Orang Asli,” kastanya.

Dr Yaakob berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat exco Selangor di Shah Alam.

Menurut Dr Yaakob, caruman itu juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri dalam mengenang jasa dan pengorbanan yang diberikan ketua kampung sepanjang tempoh tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat.

“Dan inilah satu negeri yang pertama di Malaysia yang menawarkan skim takaful yang begitu tinggi dengan harapan selepas ini ketua kampung akan lebih dedikasi untuk menjalankan tugas-tugas khususnya menbantu kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, perlindungan skim takaful ini membuktikan dasar yang diperkenalkan Pakatan Rakyat adalah satu dasar yang baik dan menjaga kebajikan ketua kampung.

Tambah Dr Yaakob, berbanding kerajaan Barisan Nasional atau BN yang dulu, tiada kelebihan yang diberikan kepada ketua kampung untuk menghargai peranan golongan ini.

Malah katanya, peranan ketua kampung juga turut dikecilkan dengan hanya menjaga kepentingan politik BN sahaja.

Antara skim perlindungan yang ditawarkan itu adalah kematian ahli keluarga, kematian disebabkan kemalangan, hilang upaya kekal, hilang upaya disebabkan kemalangan dan penyakit kritikal di mana skim itu turut melindungi keluarga ketua kampung dengan menanggung kos pengebumian ahli, isteri dan anak mereka.

Tiada ulasan: