Rabu, 16 Mac 2011

Putrajaya setuju benar keluarkan 35,000 kitab Injil ditahan KDN

TERKINI


KDN telah menahan lebih 30,000 naskhah kitab Injil di dua pelabuhan. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Putrajaya telah bersetuju untuk mengeluarkan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Kuching dan Pelabuhan Klang, sejak 2009, — beberapa hari selepas pelbagai pihak mendesak kerajaan berbuat demikian.

Keputusan itu selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah membenarkan pengeluaran dan penyebaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia secara terhad dan terkawal, di mana buku-buku tersebut mesti dicap dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”.

Tengah hari tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan yang Kabinet pernah membuat keputusan membenarkan 5,000 kitab Injil yang ditahan Kementerian Dalam Negeri sejak 2009 dibawa keluar.

Katanya, Kabinet masih belum membincangkan status kitab-kitab Injil yang dirampas dan ditahan di Pelabuhan Klang itu.

“Kami akan membincangkan pada mesyuarat Kabinet minggu ini. Kabinet belum membincangkannya lagi,” kata beliau.

Beberapa pihak termasuk PAS berpendapat tidak wajar kitab Injil dalam Bahasa Malaysia seharusnya tidak ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata sejak 1982, dengan akta tersebut, laporan menunjukkan bahawa tiada sebarang isu atau masalah yang dihadapi dalam pelaksanaannya.

“Dengan merujuk kepada fakta tersebut, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menggunakan warta 1982 yang sama dalam pengeluaran kitab Injil,” kata beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Beliau berkata, setelah pemerhatian dan analisis yang teliti, Peguam Negara juga telah menetapkan bahawa pengeluaran kitab Injil yang telah diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia tidak akan memberi kesan dalam kes mahkamah yang berkaitan isu kalimah Allah.

“Oleh itu, dalam konteks berikut kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku Kitab Injil tersebut,” kata beliau.

Idris juga berkata, kerajaan sangat komited dan akan memberikan komitmen yang berterusan untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu berkaitan agama dengan penuh adil dan saksama demi kebaikan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Oleh itu, kerajaan akan terus mengadakan dialog khas untuk membincangkan jalan penyelesaian isu-isu tertentu dengan melibatkan semua penganut pelbagai agama,” katanya.

Selain itu kata beliau, kerajaan Sarawak juga bersetuju dan berpendapat bahawa penahanan buku kitab Injil yang telah sekian lama ditahan seharusnya dikeluarkan.

Idris, yang merupakan penganut agama Kristian yang berasal dari Sarawak telah berhubung dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) bagi pihak kerajaan.

Menurut beliau, “ini adalah satu kompromi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam di negara ini.

“Bagi penganut agama Kristian, kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan kitab Injil di Kuching mahupun di Pelabuhan Klang.

“Dari perspektif penganut agama Islam pula, seperti yang telah ditetapkan oleh Peguam Negara, pelaksanaan ini tidak akan memberi kesan dalam kes mahkamah yang berkaitan isu Kalimah Allah,” kata beliau lagi.

Justeru kata beliau, kerajaan jelas sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama sejajar dengan konsep 1 Malaysia.

10 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Kita sepatutnya menghormati agama lain.

Unknown berkata...

Don't make religion an issue.

madd berkata...

isu seperti ini perlu diuruskan dengan sebaiknya. yang penting hak semua orang perlu dihormati.

Tiada Nama berkata...

Bgs la kalau sudah dikeluarkan kembali.

Unknown berkata...

Persetujuan telah dilakukan bagi pengeluaran kitab injil versi melayu yang ditahan sebelum ini oleh KDN.

Tanpa Nama berkata...

kebebasan beragama perlu ada di negara kita.

Tanpa Nama berkata...

sebagai sebuah negara yang mendukung kebebasan beragama, kerajaan perlu bersikap adil terhadap semua agama di negara ini.

Kris Jr berkata...

Sepatutnya isu ini tidak menjadi isu panas & berpanjangan sbb perkara ini sudah termaktub dalam akta. KDN perlu meneliti akta2 yg ada di M'sia ni agar isu seprti ini tidak berulang lagi.

Unknown berkata...

Baguslah kalau begitu, cuma kenapa juga mahu ditahan selama ini? Jika kuat pegangan agama, tidak mungkin akan berubah kepercayaan.

Unknown berkata...

Agak sensitif untuk mengatakan tentang agama.. namun, hak itu masih ada.