Rabu, 16 Mac 2011

Pulau Jerejak: Guan Eng cabar BN saman jika mahu

BERNAMA


GEORGE TOWN — Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP hari ini mencabar Barisan Nasional (BN) Negeri supaya mengambil tindakan undang-undang terhadapnya berhubung isu pembangunan semula Pulau Jerejak.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata projek itu, yang dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu, telah mengalami defisit RM30 juta dan kerajaan Pulau Pinang sekarang menuntut supaya wang terbabit dikembalikan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mencetak kira-kira 150,000 risalah untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai kerugian itu dan menggesa pentadbiran terdahulu supaya mengembalikan wang berkenaan.

“Jika kami tidak memberitahu perkara yang benar kepada penduduk Pulau Pinang, mereka (pentadbiran terdahulu) seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap kami,” kata Lim (gambar) kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan tugas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai yang baru.

Lim berkata kerajaan negeri berpendapat tiada gunanya untuk meneruskan projek yang mengalami defisit besar dalam fasa pertamanya.

Akhbar hari ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Negeri Datuk Dr Teng Hock Nan mendakwa Lim menyalahgunakan kedudukannya dan menggunakan dana awam untuk mencetak risalah itu.

Lim berkata kos mencetak dan mengedar risalah berkenaan ialah beberapa ribu ringgit.

Risalah itu menyenaraikan defisit RM30 juta sebagai RM10.6 juta dalam bentuk premium tanah yang belum dilunaskan kepada Pentadbir Tanah Pulau Pinang, kos pelaburan RM15.44 juta dan pinjaman belum dijelaskan sebanyak RM3.6 juta daripada Tropical Island Resort.

Dalam majlis penerahan tugas itu, Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated Maimunah Mohd Shariff, 50, mengambil alih jawatan Yang Dipertua daripada Mokhtar Mohd Jait, 55, yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri.

Tiada ulasan: