Rabu, 2 Mac 2011

Puak anti-Samy Vellu desak Palanivel ketuai MIED

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Puak antibekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menggesa jawatan pengerusi lembaga pemegang amanah Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) disandang oleh presiden MIC Datuk G. Palanivel bagi memastikan ia kekal dalam kawalan parti itu.

“Jawapan kepada soalan mengenai pemilikan MIED sangat mudah. Dari segi konvensyen, presiden MIC adalah juga pengerusi sayap pendidikan MIED,” kata bekas timbalan ketua Pemuda MIC V. Mugilan (gambar) dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, jika Samy Vellu ikhlas dengan niatnya mahu mengekalkan MIED bersama MIC, maka beliau harus melepaskan kedudukannya kepada Palanivel yang menggantikannya Disember lalu.

“Dakwaan Datuk Seri Samy Vellu bahawa ada pihak yang mahu menjejaskan hubungan beliau dengan Datuk Palanivel jelas tidak berasas, memandangkan perjuangan adalah untuk menyelamatkan MIED dan bukan menentang mana-mana individu (tertentu),” kata Mugilan yang dipecat oleh Samy Vellu pertengahan tahun lalu.

Mei lalu, Mugilan mendesak Samy Vellu supaya berundur daripada memimpin MIC sebelum akhir 2010.

Kemudian Mugilan dan rakan-rakannya mengadakan Gerakan Anti Samy (GAS).

Samy Vellu dilantik sebagai duta khas dan melepaskan jawatannya kepada Palanivel.

“Pendirian saya ialah presiden semasa seharusnya secara automatik menjadi pengerusi MIED memandangkan presiden MIC yang berada dalam kedudukan untuk membangkitkan isu berkaitan dengan parti-parti komponen dan juga kerajaan yang memerintah berbanding Samy Vellu ataupun orang lain,” katanya lagi.

Malah menurut Mugilan, memandangkan Samy Vellu sudah pun dilantik sebagai duta khas dan seringkali menghabiskan masanya di luar negara, maka MIED memerlukan seorang pengerusi yang ada masa dan kedudukan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Malahan, Datuk Seri Samy Vellu juga berhadapan dengan kes mahkamah yang dibawa oleh seorang anggota MIED S.A. Vigneswaran berhubung dakwaan salah urus dan salah guna dana MIED.

“Oleh itu, beliau harus melepaskan jawatan pengerusi MIED dengan segera dan memberi tumpuan ke atas jawatan baru yang diberikan kepadanya.

“Tindakan membiarkan MIED dibanjiri dengan mereka yang rapat dengan beliau atau sekutunya, hanya akan membawa kepada rebutan kuasa dalam parti,” katanya lagi.

Semalam, Samy Vellu memberi jaminan MIED, yang mempunyai aset sekitar RM1 bilion. akan kekal sebagai entiti milik MIC sambil menafikan dakwaan bahawa ada usaha di pihaknya untuk “melarikan” sayap pendidikan itu.

Malah kata beliau dakwaan itu juga bertujuan merosakkan hubungan beliau dengan penggantinya Palanivel.

“Saya mahu menafikan dakwaan yang dibuat sesetengah pihak bahawa ada usaha untuk membawa keluar MIED dari MIC.

“Ini hanya usaha untuk pihak-pihak yang terdesak dan tidak bertanggungjawab yang mahu memusnahkan MIED dan juga menyebabkan ketidakstabilan dan menjejaskan hubungan saya dengan Presiden MIC Datuk G. Palanivel,” kata Samy Vellu.

Samy Vellu berkata MIED, yang ditubuhkan pada 1984 ketika era kepimpinannya berkata sayap itu akan kekal sebagai sebahagian MIC dan aktiviti harian akan diuruskan oleh MIED sebagaimana diamalkan sebelum ini.

Sehubungan itu kata Samy Vellu, beliau sentiasa berhubungan dengan Palanivel dan “kami sentiasa mendapatkan nasihat satu sama lain berkenaan urusan MIED.”

Sejak penubuhannnya Samy Vellu bertindak sebagai pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Tiada ulasan: