Khamis, 31 Mac 2011

Polis Keningau akan sita kenderaan individu diguna sebagai kereta sapu

KENINGAU KINI

KENINGAU: Mulai awal bulan depan polis Keningau akan menyita kereta individu yang didapati digunakan untuk perniagaan kereta sapu.

“Ini adalah undang-undang,” jelas Ketua Polis Keningau DSP Zahari Mohamad, ketika mempertontonkan sejumlah 18 kenderaan persendirian yang ditahan kerana didapati digunakan sebagai pengangkutan awam haram.

Zahari berkata, tindakan menyita itu diputuskan bagi mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keselamatan serta penyalahgunaan.

Katanya, sepanjang dua bulan pertama pada tahun 2011 mendapati kebanyakan kemalangan melibatkan kereta sapu, dan pemandunya tidak mempunyai lessen.

Kemalangan yang direkodkan melibatkan kehilangan nyawa orang awam, di samping kenderaan yang digunakan tidak mempunyai cukai jalan serta perlindungan insurans.

“Polis mengambil langkah menyita kenderaan berkenaan atas faktor ini,” jelasnya.

Sehubungan itu Zahari menasihatkan orang ramai supaya berhenti daripada menjalankan perniagaan kereta sapu, selain memberi amaran keras kepada individu yang menyewakan kenderaan mereka untuk tujuan itu.

“Anda juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” tambahnya.

Lewat petang pada Rabu, polis Keningau menahan sebanyak 18 kenderaan persendirian yang digunakan untuk perniagaan pengangkutan awam secara haram.

Daripada jumlah itu 9 didapati tidak memiliki lesen memandu, 7 kenderaan didapati permit LKM tamat tempoh sah dan 2 kenderaan tidak mempunyai cukai jalan.

Ketua polis itu memberitahu, usaha memerangi kegiatan kereta sapu di daerah ini akan dijalankan secara berterusan.

Tiada ulasan: