Jumaat, 11 Mac 2011

PKR Gesa LHDN Siasat Gobala

TVS NRWS



KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution hari ini menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat Ahli Parlimen Bebas dari Padang Serai, N Gobalakrishnan yang mampu membeli tanah bernilai RM1.4 juta bagi sebuah syarikat miliknya setelah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat Januari lalu.

Saifuddin mendakwa adalah mustahil seorang wakil rakyat biasa mampu membiayai pembelian tanah sebegitu lumayan dalam jangka masa yang begitu singkat.

Gobala didakwa membeli sebidang tanah bernilai RM1.402.250 di Kelantan untuk syarikat Embun Megah Sdn Bhd, yang dimilikinya daripada Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad, kata Saifuddin.

"Saya menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri memulakan tugas bertanya khabar keupayaan beliau membayaran berjuta ringgit dalam urusniaga ini. Dari mana sumbernya? Siapa yang bermurah hati menolong? Urusniaga apa yang dilakukan beliau yang memungkinkan wang sebanyak ini diperolehi?," soal Saifuddin pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menurut Saifuddin, rata-rata Ahli Parlimen pembangkang yang keluar parti menerima imbuhan tetapi mencipta pelbagai alasan yang tidak berasas untuk menghalalkan "pengkhianatan" mereka itu.

Saifuddin berkata seorang individu memberikan salinan dua keping cek sebagai bukti Gobala membelia tanah itu sejurus selepas beliau lompat dari PKR.

"PKR mengulangi pendirian bahawa pengkhianatan keluar parti sejumlah ahli-ahli parlimen PKR adalah didorong habuan lumayan yang tidak mungkin mereka perolehi jika kekal dalam PKR. Dek dorongan inilah mereka tewas,"tambah Saifuddin.

Gobala sebelum ini keluar PKR atas alasan parti itu sudah hilang arah tuju dan hanya memperjuangkan kepentingan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali serta tidak membantu kaum India di negara ini.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin masyarakat India menyelar Gobala kerana membuat tuduhan berunsur fitnah dan tanpa bukti.

Gobala menafikan tuduhan Saifuddin dan mendakwa beliau tidak menandatangani sebarang cek. Namun beliau tidak mengulas sama ada akan mengambil sebarang tindakan terhadap Saifuddin bersabit tuduhan yang dibuatnya.

Tiada ulasan: