Jumaat, 18 Mac 2011

Pilihan Raya Sarawak: PR Rugi Jika SNAP Tarik Diri

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan menghadapi kesulitan sekiranya Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) keluar daripada jalinan kerjasama Pakatan Rakyat (PR) dan bertanding secara bersendirian pada pilihan raya negeri Sarawak yang akan berlangsung.

Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PR akan rugi sekiranya perkara itu benar-benar berlaku kerana pilihan raya negeri kali ini amat penting untuk PR mengukur kekuatan mereka di negeri itu.

“Kepimpinan PR perlu menilai semula keputusan pembahagian kerusi DUN Sarawak antara PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan SNAP supaya tidak timbul soal pertindihan kerusi.

“Ini kerana kalau boleh kita mahu pertandingan satu lawan satu di setiap kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak untuk pastikan kemenangan PR,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden SNAP, Edwin Dundang yang mengancam untuk meninggalkan pakatan pembangkang sekiranya parti itu tidak mendapat pengagihan kerusi yang adil.

Edwin dilaporkan bertegas mahu parti itu diberikan 28 kerusi pada pilihan raya negeri kali ini.

Pada sidang media selepas Konvensyen PKR Sarawak baru-baru ini, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian mengesahkan pihaknya akan meletakkan calon di 52 kawasan DUN dengan senarai mereka yang akan bertanding dalam proses pengesahan.

Baru mendakwa PKR telah mendapat persetujuan secara dasar dengan PAS dan DAP kerana mereka melihat PKR mempunyai potensi untuk menang lebih besar di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pada Isnin mengesahkan bahawa kepimpinan PR akan mengadakan perbincangan semula mengenai pembahagian kerusi kerana berlaku pertindihan dalam pembahagian yang telah dibuat baru-baru ini.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Saifuddin berkata Majlis Presiden telah melantik tiga orang wakil untuk berbincang dengan SNAP mengenai isu pembahagian kerusi di Sarawak.

Mereka ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tan Kok Wai.

Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum bulan Julai tahun hadapan dan ramai pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan pada awal bulan April atau Mei. Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN dengan 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional (BN)

Tiada ulasan: