Khamis, 10 Mac 2011

Pekerja Citibank berpiket tuntut keadilan

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kira-kira 200 pekerja bank Citibank berpiket di hadapan ibu pejabat bank itu di Jalan Ampang kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

Piket yang berakhir kira-kira satu jam kemudian, antaranya bertujuan menuntut pembayaran kerja lebih masa, cuti bersalin 90 hari dan subsidi penjagaaan anak yang tidak adil.

Dalam piket itu para pekerja memegang kain rentang serta sepanduk yang menuntut agar majikan mengubah keputusan mereka berhubung perkara itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsan Pekerja Bank (NUBE) J. Solomon berkata piket itu sebagai menyuarakan rasa tidak puas hati pekerja terhadap majikan yang didakwanya sebagai tidak adil terhadap para pekerja bank itu di Malaysia.

“Bayaran kerja lebih masa kepada pekerja berpendapatan rendah dibayar sekali dalam tempoh empat bulan, ini perlanggaran undang-undang buruh dan pengurusan tertinggi Citibank adalah rakyat asing, tiada peluang diberikan kepada rakyat Malaysia.

“Sementara itu, wujud perbezaan dalam subsidi penjagaan anak bagi pekerja yang mempunyai anak berumur tujuh tahun ke bawah dengan satu kumpulan dibayar RM100 dan satu lagi dibayar RM50 bagi satu keluarga,” katanya.

Citibank juga memberi cuti bersalin 90 hari dan cuti paterniti lima hari hanya kepada staf bertaraf pegawai dan ke atas, tetapi tidak kepada pekerja biasa,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Tinjauan mendapati beberapa anggota polis turut berkawal di kawasan piket berlangsung bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan kejadian tidak diingini.

Tiada ulasan: