Selasa, 29 Mac 2011

Pegawai SPRM: Saksi wajib kerjasama dalam siasatan rasuah

BERNAMA

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Hishamuddin Hassim berkata saksi yang terlibat dalam penyiasatan, wajib bekerjasama dan badan itu mempunyai kuasa untuk menyiasat.

Beliau memberitahu suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini bahawa saksi terikat dengan Seksyen 47 Akta SPRM (obligasi disisi undang-undang untuk memberi maklumat) dan mereka tidak boleh mengelak daripadanya.

Katanya SPRM juga merujuk kepada Pekeliling Am Sulit Bilangan 1/84 yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara untuk mendapatkan maklumat daripada saksi di agensi dan badan kerajaan manakala bagi badan korporat pula, pegawai SPRM akan memohon kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya atau Penolong Kanan Pesuruhjaya.

Walaupun mempunyai kuasa dalam undang-undang, pegawai SPRM tetap mempraktiskan cara berhemah dalam mendapatkan maklumat, kata Hishamuddin yang merupakan Timbalan Pengarah SPRM Selangor semasa kejadian yang menimpa Teoh pada 16 Julai 2009.

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

"Sepanjang saya berkhidmat, saya tidak pernah menghadapi masalah dengan pegawai kerajaan. Dalam SPRM kita guna cara berhemah. Ada juga badan korporat yang meminta notis kebenaran Timbalan Pendakwa Raya dan kita akan memohonnya dan tidak menghadapi masalah untuk mendapatkannya (notis)," katanya.

Ditanya Pengerusi Suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, bagaimana sekiranya saksi enggan bekerjasama, Hishamuddin berkata kakitangan kerajaan tidak boleh ingkar sepertimana peruntukan undang-undang dan timbalan pendakwa raya boleh mengeluarkan notis tetapi ia bergantung kepada situasi kerana kes rasuah tidak sama seperti kes rogol dan bunuh.

Hishamuddin berkata kuasa siasatan dalam kes membabitkan Teoh diberi kepadanya oleh timbalan pendakwa raya secara lisan dan dimaklumkan oleh Pengarah Bahagian Perundangan.

Beliau bagaimanapun tidak melihat surat kebenaran tersebut.

Menceritakan siasatan yang dilakukan oleh Pegawai Penyiasat SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail, saksi itu berkata beliau mengarahkan Mohd Anuar melakukan siasatan di pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Seri Kembangan dan ADUN kawasan Kampung Tunku pada 15 Julai 2009.

"ADUN adalah kakitangan kerajaan dan mereka termaktub dengan perintah pekeliling yang meminta mereka bekerjasama dan disebabkan itu pegawai SPRM boleh menyoal saksi yang terlibat," katanya.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T S Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, yang antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner, yang turut menjalankan siasatan, membuat keputusan terbuka.


Tiada ulasan: