Jumaat, 11 Mac 2011

PAS: SPR perlu sedia 21 hari kempen di Sarawak

BERNAMA

KUALA LUMPUR — PAS hari ini meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanjutkan tempoh berkempen bagi pilihan raya Sarawak daripada tujuh kepada 21 hari.

Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata ini perlu kerana Sarawak sebuah negeri yang besar menyebabkan perjalanan ke satu-satu tempat mengambil masa, sekali gus menyukarkan usaha berkempen.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata masalah itu diburukkan lagi dengan faktor kelengkapan logistik pakatan pembangkang yang tidak mencukupi.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilapor berkata pihaknya bersedia mendengar sebarang cadangan konstruktif daripada parti politik di negara ini bagi memastikan pilihan raya negeri Sarawak berjalan lancar dan adil.

Abdul Aziz memberi respons itu ketika mengulas cadangan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Datuk Fadillah Yusof agar tempoh berkempen dipendekkan bagi mengelak amalan politik kurang sihat.

Sementara itu, seorang lagi anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamad Sabu berkata parti tersebut dan rakan sekutu mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP sedang membincangkan agihan kerusi yang akan ditandingi.

Pada pilihan raya Sarawak 2006, Barisan Nasinal menguasai 63 kerusi dengan Parti PBB menang 35 kerusi diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dengan 12 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

Di pihak pembangkang, DAP memenangi enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM) masing-masing satu kerusi. Mandat Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat Julai ini.

Tiada ulasan: