Selasa, 29 Mac 2011

PAS saran kerajaan kaji jimat belanja p'raya

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Kerajaan BN disaran agar memikirkan langkah penjimatan pada pilihan raya akan datang bagi mengelakkan pembaziran wang negara.

Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS-Rantau Panjang) sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat berkata,setiap kali berlaku pilihan raya kecil, menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi.

"Apakah ada cadangan daripada pihak kerajaan untuk langkah-langkah penjimatan sebab kita melihat bagaimana setiap kali pilihan raya akan menelan belanja ratusan juta ringgit.

"Ini merupakan kos yang sangat tinggi yang akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Beliau turut mendakwa, setiap kali PRK BN akan melakukan projek segera yang membawa kepada pembaziran.

"Adakah kajian sudah dibuat terhadap projek-projek segera yang dilaksanakan semasa pilihan raya?

"Contohnya seperti yang berlaku di Tenang, jalan raya diturap pada musim hujan.

"Apabila banjir, tar yang diturap itu terkopak. Ini satu pembaziran," katanya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapannya bagaimanapun secara sinis berkata, tiada siapa dapat menjangkakan keadaan cuaca.

"Kita turap jalan raya hari ini, esok turun hujan mana kita nak tahu.

"Lainlah kalau Rantau Panjang boleh telefon terus ke atas tanya hujan turun ke tidak," katanya.

Kedengaran Siti Zailah menjawab dengan mengatakan jalan memang diturap ketika hujan turun.

Sebelum itu, Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) meminta Perdana Menteri menyatakan kos yang terpaksa dibelanjakan untuk sesuatu pilihan raya kecil semenjak pilihan raya umum ke-12.

Beliau juga ingin tahu sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil, sebaliknya menggantikannya dengan kaedah lain.

Menteri dalam jawapannya memberitahu, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan pilihan raya kecil kerana ianya termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Tapi kalau lepas ini (April) ada lagi wakil rakyat mati, tak kisahlah. Dah tak perlu buat pilihan raya," katanya.

Tiada ulasan: