Jumaat, 11 Mac 2011

Najib Guna Duit Rakyat Hantar Emel Salam1M'sia

Ditulis oleh Edi Suleiman



KUALA LUMPUR : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak membelanjakan RM63,000 duit rakyat untuk menghantar emel ucapan "Salam 1Malaysia" kepada lebih sejuta rakyat Malaysia mencerminkan sikap boros dan menyeleweng kerajaan secara terang-terangan, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, Najib berkata selain emel, empat juta khidmat pesanan ringkas dihantar oleh tiga syarikat-syarikat telekomunikasi - DiGi Bhd, Maxis Bhd dan Celcom Bhd - sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

Syarikat yang mengendalikan penghantaran emel berpangkalan di Amerika Syarikat mengenakan bayaran RM63,000 itu.

"Wang itu bukanlah dana peribadinya, tetapi wang pembayar cukai, yang perlu diuruskannya dengan cermat untuk kebaikan semua rakyat Malaysia, " kata Teresa.

Beliau yang juga exco kerajaan Selangor turut mendakwa bahawa Najib telah menganugerahkan kontrak menghantar emel kepada pihak ketiga, Lyris Inc, yang merupakan syarikat pemasaran teknologi yang berpangkalan di California.

Teresa mendakwa, tiada proses tender terbuka, tetapi nama syarikat terbabit, boleh dilihat dengan mengklik pada pautan 'tidak melanggan' (unsubscribe) pada emel.

Sehubungannya, beliau menggalakkan orang ramai mengklik 'tidak melanggan' (unsubscribe) senarai penghantaran 'Salam 1Malaysia' bagi menyelamatkan wang pembayar cukai serta untuk menghantar satu mesej protes terhadapnya.

Tiada ulasan: