Rabu, 30 Mac 2011

Muhyiddin: BN sasar 30 kerusi tawan Selangor



AMPANG — Usaha menawan balik negeri Selangor bukan satu tugas mudah tetapi Barisan Nasional (BN) meletakkan sasaran untuk menawan sekurang-kurangnya 30 kerusi dalam pilihan raya umum ke-13, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri berkata, BN telah mengenal pasti kerusi-kerusi yang perikatan itu boleh kuasai.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan butiran lanjut.

BN kehilangan pentadbiran kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Tiga tahun lalu BN hanya menang 20 kerusi manakala Pakatan Rakyat, ikatan kerjasama DAP-PAS-PKR, menguasai 36 kerusi.

Muhyiddin (gambar) hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Selangor, dilihat sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13.

Mengikut atur cara yang dikeluarkan, beliau singgah di 13 kawasan antara menyertai Sambutan 100 tahun SK Sijangkang dan Sarapan 1Malaysia “Cakna Rakyat” di Sekolah Kebangsaan Sijangkang pada pukul 8.30 pagi, perjumpaan dengan guru-guru dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Selangor di SMA Tg Ampuan Rahimah, Sungai Manggis, solat Zohor dan ramah mesra dengan jemaah di Masjid Ubaidullah, Taman Tasek Tambahan, Ampang; minum petang dan berehat di rumah Hj Masahadi Hashim di No 1, Jalan 11 A, Kg Melayu Tambahan, Ampang; solat Maghrib di Surau Al-Ikhlasiah, Jalan 4, Kg Melayu Tambahan, Ampang dan hadir jamuan rakyat 1Malaysia di Padang Masjid Nurul Hidayah, Jalan H, Kampung Pandan.

Timbalan pengerusi BN itu berkata, perikatan tersebut hanya akan berjaya jika pemimpin-pemimpin bersedia turun padang untuk bertemu dengan orang ramai dan mendengar rintihan mereka.

“Jika kita melakukannya secara terus-menerus, saya yakin kita boleh melihat perubahan sikap (pengundi), peningkatan dalam sokongan,” kata beliau selepas memberikan ucapan di SMK Taman Tasek Tambahan di sini hari ini.

“Dan, jika ia berterusan sehingga pilihan raya, kita ada peluang, untuk tebus kekalahan (pada 2008),” katanya lagi.

Muhyiddin berkata tujuan lawatan hari ini ialah menilai sentimen pengundi di negeri paling kaya di Malaysia ini.

Tiada ulasan: