Selasa, 29 Mac 2011

Kes Teoh: Pegawai SPRM sediakan diari siasatan kedua

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menafikan bahawa beliau membuat diari siasatan kedua, selepas hampir dua tahun kematian Teoh Beng Hock, untuk menyokong teori yang menunjukkan setiausaha politik kepada exco Selangor itu membunuh diri pada 16 Julai 2009.

Mohd Nadzri Ibrahim memberitahu Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh bahawa diari siasatan kedua itu dibuat sebelum suruhanjaya ditubuhkan untuk melengkapkan maklumat yang tidak terdapat dalam diari siasatan pertama yang dibuat selepas dua atau tiga hari kematian Teoh.

“Saya membuat diari siasatan pertama lebih kurang 18 Julai 2009 atau 19 Julai 2009 dan terus menaip pada komputer sambil merujuk pada kenyataan Teoh yang diambil pada awal pagi 16 Julai 2009,” katanya ketika ditanya peguam Cheow Wee dari Majlis Peguam.

Ketika menjawab soalan pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen bagaimana beliau boleh mendapatkan kenyataan Teoh sedangkan ia telah diserahkan kepada pengawai penyiasat SPRM, Selangor Mohd Anuar Ismail, Mohd Nadzri berkata salinan kenyataan Teoh ada padanya memandangkan beliau mempunyai ‘‘soft copy’’ dalam komputer.

Mohd Nadzri menjelaskan diari siasatan kedua itu dibuat sebelum suruhanjaya ini ditubuhkan dan selain berpandukan kepada kenyataan Teoh, diari siasatan itu ditulis mengikut memorinya sendiri.

Mohd Nadzri berkata demikian ketika ditanya peguam Cheow Wee mengapa beliau perlu menambah maklumat dalam diari siasatan kedua dan atas arahan siapa untuk memperbaiki maklumat dalam diari siasatan pertama.

Beliau berkata tiada sesiapa yang menyuruhnya berbuat demikian dan beliau hanya hendak melengkapkan diari siasatan iitu sebab mahu menceritakan keadaan yang sebenar.

Mohd Nadzri, saksi ke-24 suruhanjaya itu berkata diari siasatan kedua adalah lebih baik dan lengkap berbanding diari siasatan pertama yang dibuat secara umum.

Beliau juga menafikan diari siasatan kedua itu dibuat berdasarkan perbincangan dengan pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam operasi penyalahgunaan wang peruntukan membabitkan kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Selain itu, ketika ditanya pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud apa yang berlaku selepas Teoh selesai merakamkan percakapan pada 3.45 pagi (16 Julai 2009), Mohd Nadzri berkata: “Saya menyuruh Teoh pulang untuk mengambil dokumen yang diminta oleh Mohd Anuar tetapi Teoh memberithu bahawa beliau (Teoh) ingin berehat sebentar”.

Mohd Nadzri berkata beliau meminta Teoh berehat di sofa berhadapan biliknya.

Ketika ditanya Awang Armadajaya mengenai keselamatan dokumen yang terdapat di dalam bilik Mohd Anuar yang tidak berkunci, Mohd Nadzri berkata tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa dokumen yang berada di dalam bilik Mohd Anuar akan dimusnahkan oleh Teoh yang dianggapnya seorang yang baik dan lembut.

“Saya tak fikir Teoh akan merosakkan atau musnahkan fail itu,” katanya.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Tiada ulasan: