Jumaat, 11 Mac 2011

Kes PKFZ : Perbicaraan Tiga Individu Bermula 12 April Ini

Ditulis oleh BERNAMA



SHAH ALAM : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tarikh perbicaraan kes tiga individu yang didakwa menipu dalam projek pembinaan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bermula pada 12 hingga 14 April tahun ini.

Tarikh berkenaan dimohon oleh pihak pendakwaan yang diketuai oleh Ketua Unit Pelucuthakan Harta Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad pada prosiding pagi ini.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan salah seorang tertuduh, KetuaPegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok, 52, supaya dilepaskan daripada 26 pertuduhan alternatif menipu OSK Trustees Bhd dalam projek pembinaan PKFZ.

Bagaimanapun, peguambela Stephen, Hisham Teh Poh Teik memohon supaya pendengaran itu ditangguhkan sementara menunggu semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Asmadi Husin pada 11 Februari lepas yang menolak permohonan anak guamnya untuk memanggil seorang wartawan sebuah akhbar harian sebagai saksi untuk mengenepikan 26 pertuduhan itu.

Dzulkifli berkata pihaknya tidak ada bantahan dengan penangguhan itu tetapi perbicaraan kes yang melibatkan ketiga-tiga individu itu mesti dilaksanakan dari 12 hingga 14 April ini tanpa menunggu sebarang keputusan rayuan dan semakan atau sebagainya.

Perbicaraan ketiga-tiga tertuduh sebelum ini dijadualkan bermula pada 29 dan 30 Mac ini. Hisham bersetuju dengan permintaan Dzulkifli dan memohon mahkamah menetapkan tarikh mendengar permohonan Stephen supaya 26 pertuduhan pilihan ke atasnya digugurkan pada 7 April ini.

Asmadi menetapkan tarikh pendengaran pada 7 April ini selepas tidak mendapat bantahan daripada Dzulkifli. Dzulkifli berkata pihaknya memohon penangguhan perbicaraan ketiga-tiga mereka memandangkan Hisham perlu menghadiri beberapa kes rayuan dan semakan pada 29 dan 30 Mac ini sementara pihak pendakwaan perlu menghadiri satu persidangan pendakwaan daripada 26 hingga 28 Mac ini.

Stephen, bekas pengurus projek Kuala Dimensi Law Jenn Dong, 52, dan arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect mengaku tidak bersalah pada 8 Novlepas atas 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi bagi dua projek di PKFZ.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK Ampang antara 30 Jun 2006 sehingga 20 Jun 2008. Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik untuk sistem 33kV bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Mereka juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem elektrikal 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui kerja-kerja itu tidak dilaksanakan.

Tindakan mereka itu didakwa telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta. Selain itu, Stephen dan Tan juga mengaku tidak bersalah pada 8 Nov lepas terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees di antara 31 Julai 2007 dan 8 Oktober 2008 dengan memperdaya syarikat pemegang amanah itu untuk mempercayai bahawa sistem 33kV ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan.

Justeru, tindakan mereka telah mendorong OSK Trustees membayar RM5.42 juta kepada Kuala Dimensi. Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, Stephen dan Tan mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan asal menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membabitkan tuntutan RM5.42 juta pada 31 Julai dan 21 Sept 2007.

Tan dan Law pula menghadapi 24 pertuduhan asal menipu LPK bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada Kuala Dimensi melibatkan dua projek yang sama antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.

Tiada ulasan: