Isnin, 14 Mac 2011

Kerajaan berhasrat bawa pulang 443 rakyat Malaysia di Yemen

BERNAMA

KOTA KINABALU— Kerajaan berhasrat membawa pulang sekitar 443 rakyat Malaysia di bandar Sanaa dan Eden di Yemen berikutan pergolakan politik di negara itu yang semakin bertambah buruk.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kerajaan sedang memantau keadaan di negara itu terutama di Sanaa dan Eden, dan laporan terkini sudah dikemukakan kepada kerajaan untuk menentukan tindakan yang perlu diambil.

“Kita akan bawa rakyat kita di Sanaa dan Eden terus ke Malaysia kerana keadaan di situ semakin meruncing. Bagaimanapun keadaan keselamatan di kawasan lain di Yemen masih terkawal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Anifah berkata setakat 1.30 tengah hari ini, Kedutaan Malaysia berjaya menghubungi 544 rakyat negara ini di beberapa kawasan yang paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami di bahagian timur laut Jepun dan kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.

Katanya rakyat Malaysia yang berada di kawasan teruk dilanda tsunami telah dipindahkan ke pusat perlindungan yang disediakan oleh pihak berkuasa Jepun.

Beliau berkata seramai 298 pelajar Malaysia yang berada di kawasan itu juga dilaporkan selamat.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau situasi dan mengambil tindakan susulan sewajarnya dengan menghubungi semua rakyat Malaysia di Jepun,” katanya.

Anifah berkata setakat ini, kerajaan belum berhasrat membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Katanya terdapat 5,009 rakyat Malaysia yang berdaftar di Jepun termasuk 2,100 pelajar.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hope that our people in Yemen are safe.

Paquin berkata...

Semoga rakyat Malaysia yang berada di Yemen selamat dan bebas daripada bahaya.

Paquin berkata...

Apapun, sentiasalah pantau keadaan di sana dan buatlah apa yang patut demi kebaikan rakyat Malaysia.

Unknown berkata...

Pray that our people are safe and sound in Yemen.

Tanpa Nama berkata...

jika keadaan di Yaman dan Jepun tidak begitu selamat, lebih baik Rakyat Malaysia yang berada di sana di bawa pulang segera.

zam berkata...

lebih baik rakyat Malaysia yang berada di Yamen dibawa pulang jika ada keperluan untuk berbuat demikian dan demi keselamatan mereka.

Bujang Senang berkata...

Apa pun semoga rakyat kita selamat di negara tersebut.

Tanpa Nama berkata...

jangan tangguh2 sebarang usaha membawa mereka balik. dan saya harap kerajaan juga akan membawa balik rakyat Malaysia yang berada di Jepun..