Isnin, 21 Mac 2011

Kempen MP Kuantan ‘Halang Lynas, Selamatkan Malaysia’ mula raih sokongan

TERKINI


Fuziah Salleh di sisi kain rentang kempen menggesa Lynas Corporation dihalang daripada beroperasi di Gebeng dekat Kuantan. — Foto oleh Choo Choy May

KUANTAN— Dua tahun lalu usahanya tidak memperlihatkan kejayaan, malah tidak ramai yang peka dengan isu tersebut.

Bagaimanapun hari ini, Ahli Parlimen Kuantan dari PKR Fuziah Salleh (gambar) kelihatan senyum apabila gerakannya mula menerima sokongan memprotes syarikat Australia, Lynas Corporation daripada memulakan operasi loji pembersihan nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan.

Sekitar 200 orang dari ibu negeri Pahang menghadiri sesi dialog hari ini sambil meminta kerajaan negeri dan pusat menghentikan Lynas daripada beroperasi di negara ini.


Sebahagian daripada orang ramai yang menyertai dialog awam anjuran Fuziah Salleh di Kuantan hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
Mereka memperlihatkan sokongan dan ia kelihatan menggalakkan.

Seorang ahli perniagaan secara sukarela menyatakan kesediaan membawa warga Kuantan ke bangunan Parlimen untuk menunjukkan protes.

Langkah mengumpul tanda tangan di pasar tani di sini pagi tadi juga menghimpunkan sekitar 500 penyokong.

Sepuluh yang lain mengangkat tangan apabila Fuziah, yang juga Naib Presiden PKR, meminta sukarelawan untuk mengetuai jawatankuasa “Halang Lynas! Selamatkan Kuantan”.

Wakil rakyat penggal pertama itu memulakan usaha menghalang loji itu seorang diri dua tahun lalu tetapi usaha itu kelihatan gagal.

Kini beliau memulakan kempen meminta Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Malaysia tidak mengeluarkan permit operasi kepada Lynas.

Laporan sebelum ini mengatakan bahawa syarikat itu akan memulakan operasi akhir tahun ini. Kilangnya di Gebeng sedang dibina.

Di Parlimen Selasa lalu, Fuziah menggesa agar kerajaan sama sekali tidak mengeluarkan lesen operasi memproses tanah jarang kepada Lynas.

Dua minggu lalu, akhbar harian Amerika, the New York Times melaporkan pekan industri Gebeng bakal menyaksikan pusat pemprosesan nadir bumi atau lazimnya dikenali tanah jarang, yang paling besar di dunia.

Loji bernilai RM700 juta itu sedang dibina oleh Lynas Corp dan pihaknya akan menghantar nadir bumi yang dilombong di barat negara itu di Mount Weld dengan kapal.

Ini adalah percubaan kedua Malaysia dalam penapisan nadir bumi, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak pada sekitar 1980-an.

Sehubungan itu Fuziah juga menyoal “adakah kita mahu tunggu ada kes seperti di Bukit Merah, ada anak pekerja yang lahir cacat, abnormal, baru kita mahu bertindak?”

“Adakah nyawa dan keselamatan rakyat Kuantan begitu tidak berharga kepada kerajaan Malaysia?” kata Fuziah di Parlimen.

Fuziah menggerakkan kempen petisyen untuk dihantar kepada AELB agar tidak mengeluarkan permit operasi kepada Lynas.

Beliau meletakkan sasaran untuk mengumpul sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 60,000 penduduk terbabit.

Sebanyak 600 borang yang menyediakan ruang bagi 50 tanda tangan telah diambil sebaik sahaja Fuziah menyuarakan pendirian untuk menggerakkan kempen itu.

Seorang sukarelawan, ahli perniagaan wanita yang membekalkan peralatan kepada kilang-kilang kimia di Gebeng memberitahu The Malaysian Insider bahawa dia terganggu selepas mengikuti laporan Fuziah.

“Saya menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan sebab nadir bumi sangat bahaya. Saya mahu melakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu,” kata wanita yang mengenalkan dirinya sebagai Jing.

Tiada ulasan: