Jumaat, 11 Mac 2011

Kawalan Keselamatan Peribadi Untuk Pornthip

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan akan diberi perkhidmatan kawalan keselamatan sepanjang tempoh beliau berada di negara ini untuk memberi keterangan pada Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Pornthip memohon tarikh beliau memberi keterangan yang sebelum ini ditetapkan pada 16 dan 17 Mac ditunda ke 18 hingga 20 April.

Setiausaha Suruhanjaya, Saripuddin Kasim berkata pihaknya bersetuju memberi kawalan keselamatan itu tetapi mahukan Pornthip memberi keterangan pada minggu pertama April.

"Ini kerana suruhajya perlu melengkapkan laporannya menjelang 25 April," katanya.

Selain Pornthip, seorang lagi pakar yang akan hadir memberi keterangan ialah Professor Dr Peter Vanezis dari United Kingdom.

Suruhanjaya Diraja itu ditubuhkan pada penghujung bulan Januari selepas Mahkamah Koroner tidak dapat memutuskan sama ada Beng Hock membunuh diri atau pun di bunuh.

Pornthip, yang dibawa oleh kerajaan negeri Selangor semasa inkues itu, berkata bedah siasat kedua ke atas mendiang menunjukkan beliau adalah mangsa jenayah dan tidak membunuh diri.

Pakar yang berkhidmat dengan Institut Sains Forensik Thailand itu juga mendakwa kemungkinan Teoh dibunuh adalah 80 peratus.

Vanezis yang dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak bersetuju dengan penemuan Pornthip dan berkata kecederaan Beng Hock dialami ketika beliau sedar.

Beng Hock dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam selepas disoal-siasat semalaman oleh SPRM di pejabatnya di Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu. Beliau disiasat sebagai saksi berhubung dakwaan salah guna dana awam.

Tiada ulasan: