Selasa, 29 Mac 2011

Isu video seks: Trio Datuk T boleh dilindungi undang-undang, kata Nazri

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Trio ‘‘Datuk T’’ yang mendedahkan rakaman video aksi seks didakwa melibatkan mirip seorang pemimpin pembangkang akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi dan Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (gambar) hari ini berkata akta tersebut boleh digunakan bagi melindungi keselamatan trio itu yang bertanggungjawab mendedahkan video berkenaan.

“Bagaimanapun, kedua-dua akta itu tidak perlu digunakan ketika ini memandangkan belum ada sebarang pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pihak sehingga kini dengan perkara itu juga masih dalam siasatan polis,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, ketika diminta mengulas mengenai perlindungan undang-undang yang boleh diberi kepada trio berkenaan.

Rabu lepas, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim mengakui mereka adalah trio Datuk T yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di Carcosa Seri Negara, dua hari sebelum itu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tampil membuat penafian beliau individu di dalam video tersebut dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Berikutan pendedahan itu, ketiga-tiga individu terbabit telah tampil untuk disoal siasat polis di Bukit Aman dan menyerahkan pita video dan seutas jam tangan jenama Omega sebagai bahan bukti.

Nazri berkata perkara itu bukan berkisar kepada persoalan undang-undang semata-mata tetapi ia turut melibatkan persoalan moral.

Tiada ulasan: