Selasa, 1 Mac 2011

Isu Tanah Adat : Taib Terima Cabaran Baru Bian

Ditulis oleh farah azila


SHAH ALAM : Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima cabaran Ketua Majlis Pimpinan Negeri PKR, Baru Bian berdebat secara terbuka berkenaan isu tanah adat Orang Asal (NCR).

Laporan portal berita Theborneopost.com turut menyatakan Taib Mahmud meletakkan syarat bahawa Baru perlulah mengemukakan bukti kukuh menyokong dakwaan Baru bahawa kerajaan negeri Sarawak telah merampas tanah NCR.

Taib dilaporkan berkata demikian sebagai respons beliau bersabit cabaran Baru Bian kepada kerajaan Sarawak berdebat mengenai isu tersebut.

Baru membuat cabaran tersebut dan membidas dakwaan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua serta Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bahawa pihak pembangkang sentiasa mengungkit isu tanah NCR yang mana pada pendapatnya merupakan isu lapuk.

Awang Tengah dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa kerajaan tidak pernah merampas tanah dari mana-mana pemilik tanah di Sarawak.

Baru mencadangkan kepada Taib agar menghantar Awang Tengah ataupun Menteri Pembangunan Tanah, Datuk Seri James Masing untuk berdebat sekiranya Taib tidak dapat hadir.

Beliau juga mencadangkan agar debat tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan liputan dari stesen televisyen.

Baru seterusnya meminta kerajaan Sarawak memberikan respon dalam masa dua minggu dan hanya selepas itu, beliau akan menghantar surat jemputan rasmi untuk berdebat.

Tiada ulasan: