Rabu, 16 Mac 2011

Bencana berganda Jepun: Firma insurans ‘rugi’ lebih RM100 bilion

LAPORAN — Agensi


Pasaran saham di bursa saham Shanghai juga menjunam, dipercayai berkaitan dengan kesan bencana berganda di Jepun. — Foto Reuters

TOKYO — Harga saham syarikat-syarikat insurans Amerika Syarikat (AS) menjunam selepas penganalisis menganggarkan bencana berganda Jepun minggu lalu akan membawa kerugian lebih RM105 bilion (AS$35 bilion), menjadinya malapetaka paling ‘tinggi kos’ setakat ini.

Malah kos itu dijangka akan meningkat memandangkan kerugian akibat kerosakan di loji-loji tenaga nuklear belum diambil kira.

Pagi tadi Perdana Menteri Jepun mengesahkan kebocoran radiasi dan kesannya mula dirasakan di Tokyo dengan hampir 200,000 sudah dipindahkan dari kawasan berhampiran loji tenaga nuklear.

Pelabur-pelabur pula bergegas untuk menjual saham-saham insurans kerana bimbang kerugian akan meningkat meskipun situasi sebenar hanya akan diketahui beberapa minggu lagi.

Sekurang-kurangnya seorang pakar meletakkan kerugian kemungkinan mencecah RM105 bilion (AS$35 bilion) hanya ekoran gempa bumi dan kejadian kebakaran yang menyusul.

Dalam pada itu kemusnahan akibat tsunami dijangka akan menambah berjuta-juta lagi dalam penyata kerugian.


Mangsa gempa bumi di bandar Kesennuma menitiskan air mata selepas dimaklumkan saudara-maranya terbunuh dalam tragedi berganda Jepun, Jumaat lalu. — Foto Reuters

Indeks insurans di kedua-dua pasaran AS dan Eropah semalam tidak memperlihatkan prestasi yang memuaskan.

Saham syarikat-syarikat perkapalan yang secara khusus terdedah kepada pasaran seperti MetLife Inc dan Aflac Inc juga jatuh.

Begitu juga firma insurans semula global Swiss Re dan pesaingnya Munich Re dan Hannover Re.

Agensi pemodelan risiko AIR Worldwide pula berkata gempa bumi yang melanda wilayah-wilayah timur laut Jepun Jumaat lalu boleh menyebabkan kerugian kepada perkhidmatan insurans antara AS$14.5 bilion dan AS$34.6 bilion.

Keseluruhannya, kerugian akibat gempa bumi ini dianggarkan kedua paling buruk dalam senarai bencana alam semula jadi bagi penyedia-penyedia khidmat insurans dalam tempoh 40 tahun ini selepas Taufan Katrina pada 2005.

“Mengambil kira pada tahap kemusnahan, digabungkan dengan usaha-usaha pemulihan yang sedang diadakan dan pemindahan, ia akan mengambil masa untuk menentukan nilai kerugian sebenar,” kata Swiss Re.

Setakat ini keseluruhan kos dianggarkan AS170 bilion (RM510 bilion) sementara kerugian akibat masalah di loji-loji tenaga nuklear belum diambil kira.

Tiada ulasan: