Selasa, 29 Mac 2011

Badrul hadir DUN Selangor selepas perintah mahkamah diserah

BERNAMA

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah hari ini berpeluang menyertai pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12.

Beliau kelihatan riang bersalaman dengan para wartawan dan Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) semasa majlis pembukaan yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim memberitahu sidang media selepas majlis pembukaan itu bahawa Badrul Hisham dibenarkan hadir pada majlis itu setelah peguam Adun berkenaan menyerahkan perintah mahkamah yang menyatakan bahawa Badrul masih lagi wakil rakyat Pelabuhan Klang.

Ditanya bilakah beliau menerima perintah mahkamah itu, Teng berkata beliau menerimanya pada minggu lepas setelah beliau memberitahu satu sidang media pada 22 Mac lepas bahawa beliau belum menerima perintah mahkamah yang mengekalkan Badrul Hisham sebagai ADUN Pelabuhan Klang pada 18 Februari lepas.

Beliau berkata perintah itu perlu diperoleh bagi membenarkan Badrul Hisham menghadiri persidangan DUN Selangor yang bermula hari ini.

Kontroversi timbul selepas Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong pada 16 Jan lepas kerana mendakwa Badrul gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Teng turut ditanya sama ada kesemua anggota-anggota dewan hadir pada hari ini setelah beberapa kelibat ADUN seperti Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) dan Exco Selangor Ronnie Liu (DAP-Pandamaran) tidak kelihatan.

“Saya tidak pasti saya belum tengok lagi daftar kehadiran,” katanya.

Mengenai dakwaan M.Manoharan (DAP-Kota Alam Shah) tidak dapat memasuki dewan persidangan hari ini kerana tidak mengenakan baju rasmi dewan, beliau berkata: “Saya tak pasti saya belum dapat lagi laporan.”

Teng berkata pada persidangan dewan yang dijangka berakhir pada 8 April ini, beberapa rang undang-undang akan dibentangkan seperti Rang Undang-undang Perbekalan, Rang Undang-undang Pindaan Perhutanan, Rang Undang-undang Saraan Ahli Dewan Negeri selain daripada tiga usul dari anggota dewan.

Tiada ulasan: