Khamis, 3 Mac 2011

‘Apa guna lulus Al Azhar tapi tolak Islam?’

Apa yang penting calon mempunyai perjuangan agama (Islam) sebagaimana calon PAS - Nasruddin


PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi menegaskan bahawa Hasanuddin Salim yang menjadi calon PAS kerusi Dewan Undangan Negeri Kerdau lebih baik dari calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad kerana beliau berjuang pada jalan Allah.

“Apa erti ada sijil (Universiti) Al Azhar tetapi bersekongkol dengan parti yang tidak mahu kepada Islam.

“Walaupun Hasanuddin bukan lulusan Al Azhar, cuma pelajar tempatan, beliau tetap lebih baik kerana berjuang dengan parti yang berkhendakan Islam,” kata Nasruddin kepada FMT ketika dihubungi hari ini.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas perbandingan kelulusan antara Syed Ibrahim dan Hasanuddin yang menjadi perbualan di Kerdau.

Syed Ibrahim berkelulusan Universiti Al Azahar dan merupakan bekas pegawai khas agama kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob manakala Hasanuddin pula berkelulusan Diploma Ukur dari Universiti Teknologi Mara (Uitm) Shah Alam.

Baru-baru ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengarah pilihan raya PAS Kerdau berkata, calon PAS tidak perlu mempunyai kelulusan dari Al Azhar.

Mengulas lanjut perkara ini, Nasruddin berkata, dari sudut kelulusan ia tidak semestinya dari Al Azhar sahaja.

“Apa yang penting calon mempunyai perjuangan agama (Islam) sebagaimana calon kita (Hasanuddin),” tegas Nasruddin.

Ketua Pemuda PAS itu juga menegaskan bahawa kempen PAS khususnya yang membabitkan Pemuda berbeza sedikit bagi disesuaikan dengan suasana di Kerdau.

Menurutnya, pengundi Melayu masih mengekalkan sokongan kepada PAS sebagaimana dalam pilihan raya umum 2008.

“Tidak benar mengatakan bahawa pengundi Melayu tidak lagi menyokong PAS tapi pengundi Melayu di kawasan Felda dan kampung Melayu tradisional dari dulu lagi menyokong BN,” tegasnya.

Tiada ulasan: