Khamis, 3 Mac 2011

ANAK : Felda Plantation Didakwa Organisasi Haram

TVS NEWS


SHAH ALAM : Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman memberitahu media bahawa Felda Plantation yang mengawal 367,710 hektar ladang merupakan organisasi haram.

Mazlan menegaskan, pemilikannya itu bertentangan dengan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 yang didakwa menetapkan pemilikan hanya oleh individu dan koperasi sahaja malah katanya lagi perkara itu disebut dalam Seksyen 7(2) dan Seksyen 11(1).

"Wujudnya Felda Plantation ketika ini adalah tidak sah. 367,710 hektar tanah di seluruh negara ,sedangkan mengikut akta GSA 1960, di mana akta ini yang mengawal perjalanan pembangunan di tanah rancangan Felda, di bawah Akta GSA atau penempatan beramai-ramai 1960 secara jelas menyebut, kemasukan pengurusan tanah di tanah rancangan berkelompok adalah mengikut kaedah individu dan juga koperasi," katanya.

Beliau menjelaskan perkara ini dalam sidang media harian PAS di markas induk parti itu di Kerdau hari ini.

"Bapa beliau (Tun Razak) telah membentangkan akta GSA di Parlimen tentang penyelarasan dan bidang kuasa kerajaan pusat dan negeri.Kerajaan negeri pihak yang mempunyai tanah, kerajaan pusat yang menguruskan Felda. Jadi bidang kuasa ini dijelaskan oleh Akta GSA. Jadi secara jelas bahawa peruntukan Akta GSA itu ialah diberi kepada individu supaya keluar garis kemiskinan. Maknanya ucapan beliau (Tun Razak) semasa beliau menjadi TPM pada 27 April 1960, nampaknya dikhianati pemimpin BN di zaman Mahathir dan Najib," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya akan mencadang kerajaan negeri Pakatan Rakyat, bagi mengambil semula tanah tersebut daripada Felda Plantation.

"Saya telah mencadangkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat supaya menyemak apa yang telah wujud di Felda Plantation. Kuasa kerajaan negeri sebagai pemilik tanah boleh menamatkan Felda Plantation.

"Kita akan memperincikan kedudukan Felda Plantation ini dan akan mencadangkan kepada pemimpin PKR, terutama Menteri Besar di negeri-negeri Pakatan, supaya mengkaji kedudukan ini dan mengambil langkah menamatkan Felda Plantation ini," katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa tekanan yang dihadapi oleh 45 ribu pekerja Felda apabila terbeban dengan gaji yang tidak mencukupi disamping kebajikan yang diabaikan.

"Sebenarnya dari awal saya membantah Felda Plantation ini, sebab Felda Plantation ini tidak memberi hak tanah dan juga rumah kepada peserta. Mereka hanya merupakan buruh atau pekerja semata yang dibayar upah, hari ini pula memberi bebanan dan masalah kepada 45 ribu pekerja Felda Plantation. Isu kebajikan, gaji dan tekanan kerja melampau," katanya.

Keluasan lebih suku juta hektar tanah agensi kerajaan itu boleh diagih kepada kira-kira 79,000 generasi kedua Felda bagi meningkatkan taraf hidup berbanding pemberian dividen tahunan sebanyak 14 peratus yang bernilai antara RM100 hingga RM200 sahaja.

Tiada ulasan: