Khamis, 3 Mac 2011

Anak anggota polis cedera jatuh tingkat 10 kuaters polis

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan, anak kepada seorang anggota polis patah kaki kanan dan tangan kirinya apabila terjatuh dari tingkat 10 kuarters polis di Taman Miharja, Cheras di sini, hari ini.

Remaja berumur 13 tahun itu kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan keadaannya dilapor stabil.

Ketua Polis Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian pada pukul 3.45 petang itu, remaja berkenaan dikatakan cuba memasuki rumahnya dengan memanjat melalui koridor apabila mendapati pintu rumahnya berkunci.

“Ketika pulang dari sekolah remaja itu mendapati pintu rumah berkunci dan dia nekad memanjat koridor untuk memasuki rumahnya melalui pintu dapur, tapi malangnya dia tergelincir dan terus jatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohan Singh berkata remaja itu bernasib baik apabila jatuh di atas timbunan kain buruk yang terdapat di surau berhampiran kuarters itu.

“Kain buruk yang berada berhampiran surau itu menyelamatkan mangsa daripada mengalami kecederaan yang lebih teruk,” katanya.

Tiada ulasan: