Rabu, 23 Mac 2011

Alkitab: Di Selangor tidak boleh guna, kata Mufti

KUALA LUMPUR — Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid tetap menegaskan naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang tidak boleh dibenar untuk dilepaskan kerana ia bertentangan dengan enakmen agama Islam negeri itu.

Jelas beliau, enakmen agama Islam Selangor menyebut mana-mana kitab suci agama lain termasuk Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan beberapa istilah lain yang eksklusif bagi agama Islam di negara ini.

Dalam satu kenyataan lewat petang semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan telah menggugurkan dua syarat pelepasan kesemua 35,100 naskhah Alkitab yang ditahan Kementerian Dalam Negeri - dilihat sebagai keputusan menerima desakan agar tidak mengenakan sebarang syarat, jika tidak enggan menerima buku suci penganut Kristian dalam Bahasa Malaysia itu.

Sebaliknya, hanya cap “Untuk Kristian” (For Christianity) akan diletakkan berbanding tag dan nombor siri sebelum ini.

Langkah itu diumumkan sehari selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri ke-10. Tarikh pilihan raya akan diumumkan hari ini.

Daripada 35,100 naskhah yang ditahan itu, 30,000 tersadai di Pelabuhan Kuching manakala bakinya di Pelabuhan Klang.

Di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988, selain kalimah Allah, istilah lain yang tidak boleh digunakan bagi agama lain termasuk firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, dan kadi.

Selain itu turut dilarang ialah ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, iman, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi dan syeikh.

“Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi perkataan ‘God’ yang diterjemahkan sebagai ‘Allah’, ini adalah bahaya dan mengelirukan anak-anak muda khususnya.

“Memang ia (kalimah Allah) tidak boleh digunakan bagi agama lain termasuk Kristian, Allah (bagi orang) Kristian adalah Allah yang ada anak... Allah yang ada isteri... Tuhan bapa, jadi bila guna kalimah Allah ini adalah cubaan untuk mengelirukan orang Islam terutamanya orang muda yang cetek pengetahuan agama dan keimanannya,” katanya Tamyes ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah beliau, kerajaan tidak sewajarnya membuat keputusan untuk melepaskan Alkitab di Selangor kerana ia jelas melanggar enakmen agama Islam negeri itu.

“Memang tak sewajarnya kerajaan membenarkan kitab Injil ini dibawa keluar, bukan sebab ia dalam Bahasa Malaysia tetapi penggunaan istilah di dalamnya yang boleh memesongkan akidah orang Islam dan kita tidak mahu perkara ini berlaku.

“Untuk selamat ia (kitab Injil) jangan dibenarkan dilepaskan, memang tidak boleh dilepaskan dan ia sewajarnya ditahan serta tidak dibenarkan untuk diedarkan,” tegas Tamyes.

Sebelum ini Mufti Perak Tan Sri Harussani memberi amaran keputusan Putrajaya untuk melepaskan naskhah-naskhah Alkitab yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Kuching akan membawa kepada rasa tidak puas hati dan kemarahan orang umat Islam.

Masyarakat Kristian dan Islam negara ini terlibat dalam ‘rebutan’ berkaitan dengan penggunana kalimah Allah sejak beberapa tahun lalu dan ia berakhir dengan kes mahkamah di mana pada akhir 2009 keputusannya memihak kepada gereja Katolik yang menerbitkan akhbar The Herald.

Pertengahan bulan ini, kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan 35,100 naskhah Alkitab yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang ekoran gesaan pelbagai pihak mendesak kerajaan berbuat demikian.

Keputusan itu selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah membenarkan pengeluaran dan penyebaran kitab Injil dalam Bahasa Malaysia secara terhad dan terkawal, di mana buku-buku tersebut mesti dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”.

Beberapa pihak termasuk PAS berpendapat tidak wajar Alkitab ditahan oleh kerajaan.

Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri meletakkan dua syarat iaitu setiap naskhah kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan tag “Hanya Untuk Penganut Kristian” sebelum dibenarkan pengedaran dan mesti bersertakan nombor siri.

Syarat itu, bagaimanapun ditolak oleh kumpulan yang mewakili penganut agama Kristian yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.

Tiada ulasan: