Selasa, 29 Mac 2011

200 penduduk Kuantan berhimpun aman di Parlimen esok

Mereka akan menyerahkan petisyen "Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia" bagi membantah pembinaan kilang memproses nadir bumi (rare earth).


KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 penduduk Kuantan dijangka hadir di Parlimen esok untuk menyerahkan memorandum bagi menghalang pembinaan kilang memproses nadir bumi (rare earth) yang mengeluarkan sisa buangan radioaktif di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat Kuantan, Pahang.

Memorandum disertai petisyen “Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia” yang ditandatangani penduduk Kuantan itu akan diserahkan kepada pegawai di Pejabat Perdana Menteri pagi esok.

Memorandum itu antaranya menyatakan luahan penduduk yang khuatir akan ancaman risiko radiasi apabila kilang milik sepenuhnya syarikat perlombongan dan memproses kimia daripada Australia, Lynas Corporation Ltd itu dijangka siap dibina pada hujung tahun ini.

Loji pemprosesan sejenis bijih besi, Lathanide yang mengeluarkan 0.05 peratus Thorium pada setiap sekilogram sisa buangan yang terhasil itu mengandungi radioaktif dan karsinogen (boleh menyebabkan punca barah) turut mendatangkan risiko kepada industri pelancongan sekitar Balok
dan Cherating.

Memorandum itu merupakan salah satu kempen kesedaran yang diusahakan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sejak dua minggu lalu kepada penduduk tentang risiko pendedahan radiokatif yang dihasilkan kilang tersebut.

“Hampir 90 peratus sambutan positif diterima daripada penduduk bandar Kuantan yang mahu pembinaan loji tersebut dihentikan serta merta.

“10,000 tandatangan sudah dikumpulkan, penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan umur serta kanak-kanak akan berhimpun secara aman diperkarangan luar Parlimen untuk mengedarkan risalah serta lencana kepada ahli Parlimen dan Menteri meminta supaya nyawa dan kesihatan mereka tidak dipertaruhkan,” katanya kepada FMT di sini hari ini.

Katanya, 10 orang wakil daripada penduduk akan dibenarkan masuk ke dalam bangunan Parlimen menyerahkan sendiri memorandum tersebut.

Menjangkakan halangan daripada pihak polis, Fuziah berharap agar perhimpunan aman ini dapat berjalan lancar serta hasrat penduduk Kuantan menyuarakan bantahan kepada Perdana Menteri dapat dipenuhi.

“Mereka ini hanya orang awam biasa dan bukannya penyokong yang agresif. Walau apa pun halangan esok, saya yakin penduduk sudah bersedia,” katanya.

Tiada ulasan: