Sabtu, 5 Februari 2011

Video seks: Tolonglah, saya hanya mahu keadilan, kata Luna Maya

THE MALAYSIAN INSIDER


Nazriel Irham (dua, kiri) menerima sokongan moral daripada kekasihnya Luna Maya ketika berada di sel tahanan Mahkamah Daerah Bandung, Indonesia sebelum hukuman dijatuhkan Isnin lalu. — Foto Bernama

JAKARTA — Luna Maya, teman wanita Nazril “Ariel” Irham Peterpan yang dihukum penjara 42 bulan, merujuk nasib kedua-dua mereka kepada badan hak asasi manusia atas alasan undang-undang Indonesia tidak memberi keadilan sewajarnya.

Luna Maya, seorang model dan penyampai program TV mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) semalam dengan mendakwa dia menjadi mangsa sistem keadilan.

“Saya mengharapkan keadilan di sini kerana apa yang dilalui Ariel dan saya setakat ini adalah tidak adil,” katanya dipetik Jakarta Globe.

Luna Maya ditemani peguamnya Taufik Basari dan sekumpulan aktivis hak asasi manusia wanita yang membantah undang-undang antilucah, yang menurut mereka menghukum mangsa, bukannya melindungi mereka.

“Ke mana lagi harus kami pergi dalam kes ini? Orang yang melakukan kesalahan hanya dihukum penjara dua tahun manakala Ariel perlu menjalani hukuman penjara tiga setengah tahun.

“Apakah asas bagi ini semua? Adakah kerana tekanan publik?” kata Luna Maya.

“Tolonglah, saya hanya mahukan perbicaraan yang adil,” katanya lagi.

Isnin lalu, Ariel, vokalis dijatuhi hukuman penjara tiga tahun enam bulan dan didenda Rp250 juta atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Dearah Bandung setelah didapati bersalah membuat dan mengedar video pornografi melibatkan dirinya sebagai pelaku dengan artis Luna Maya dan Cut Tari.

Cut Tari adalah bekas teman wanitanya dan sudah mendirikan rumah tangga.

Hukuman itu adalah lebih ringan daripada tuntutan pihak pendakwaan pada 6 Januari lalu, yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke terhadap penyanyi itu.

Reza Rizaldy, juga dari kumpulan vokalis itu, yang sabit kesalahan mengedarkan kilp video adegan seks itu dikenakan hukuman penjara dua tahun.

Pendakwa raya berkata Reza mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan.

Majlis tiga orang hakim sepakat menyatakan bahawa Ariel terbukti melanggar Undang-undang Pornografi 2008 dan Undang-undang Jenayah.

Kes pengedaran video porno dirinya dengan kekasihnya Luna Maya dan artis Cut Tari tahun lalu menggemparkan negara dan menghebohkan masyarakat apabila ia tersebar dengan cepat di internet sehingga dapat diakses termasuk melalui telefon bimbit.

Ariel dan Luna Maya tidak mengakui bahawa mereka adalah pelaku dalam aksi porno itu, namun Cut Tari telah membuat pengakuan dan memohon maaf secara terbuka bahawa video itu benar antara dirinya dan Ariel, dan mempertahankan kenyataan itu sebagai saksi dalam perbicaraan kes Ariel itu.

Penyanyi itu diberi seminggu untuk mengemukakan rayuannya.

Kumpulan radikal Islam menyatakan rasa kecewa mereka terhadap keputusan itu dan menunut mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Ariel.

Demonstrasi luar mahkamah berlaku setiap kali perbicaraan kes Ariel berlangsung sejak ia bermula pada 22 November lalu.

Yeni Rosa, jurucakap Rangkaian Wanita dan Hak Asasi Manusia Bagi Keadilan, ikatan 15 pertubuhan hak asasi wanita berkata, kes Ariel menunjukkan kelemahan Undang-undang Pornografi 2008.

“Kami semua menentang pornografi,” katanya.

“Tetapi Luna, Ariel dan Cut Tari adalah mangsa,” katanya.

Komnas HAM berkata ia akan mengkaji kes itu bersama Luna Maya dan pasukan peguam mereka.

Tiada ulasan: