Selasa, 15 Februari 2011

Umno Kedah sahkan rombakan kecil

BERNAMA

ALOR SETAR — Badan Perhubungan Umno Kedah akan dirombak bagi mengukuh dan memantapkan lagi badan itu berikutan pelantikan Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah dan Datuk Mukhriz Dr Mahathir sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi yang baru.

Ketika mengesahkan rombakan kecil itu, Ahmad Bashah berkata Mukhriz akan melepaskan jawatan bendahari Umno Kedah pada mesyuarat kali kedua badan itu di sini Sabtu ini.

Jawatan Ketua Penerangan yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan jawatan Datuk Othman Aziz sebagai setiausaha kerja dijangka tidak berubah.

Bagaimanapun setiausaha Datuk Ir Nawawi Ahmad dijangka dilantik sebagai bendahari yang baru menggantikan tempat Mukhriz dan tempatnya dijangka diisi oleh muka baru.

Ahmad Bashah dilantik menggantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala Mukhriz mengambil tempat Ahmad Bashah berkuat kuasa 1 Januari lepas.

“Saya telah membincangkan perubahan itu dengan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa perjumpaan dengan ketua-ketua Umno bahagian seluruh negara di Kuala Lumpur Sabtu lepas.

“Kita mengambil pandangan Presiden. Saya fikir semua ketua-ketua bahagian telah faham kehendak beliau . . . tunggulah. Saya akan umum perubahan tersebut Sabtu ini,” kata Ahmad Bashah.

Katanya mesyuarat Sabtu ini juga akan membincangkan secara mendalam pesanan Presiden Umno yang antaranya membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan mengemaskan jentera parti.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka, dan Kerdau, Pahang, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mampu meraih majoriti lebih besar berdasarkan sikap pengundi sejak Najib menerajui kerajaan.

“Kepercayaan rakyat terhadap Najib juga boleh dilihat dengan sokongan rakyat terhadap Umno dan BN secara umum dan khususnya di Kedah. Kepercayaan rakyat ini dapat dilihat melalui ucapan pemimpin-pemimpin pelbagai kaum selain mereka lebih rapat dengan BN masa kini,” katanya.

Tiada ulasan: