Rabu, 23 Februari 2011

Umno didakwa terlibat dengan Selangor Terkini.


SHAH ALAM: Umno Selangor didakwa terlibat dalam penerbitan dan penyebaran akhbar Selangor Terkini yang menyalahi undang-undang ekoran menggunakan logo rasmi Kerajaan Negeri tanpa kebenaran.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata bukti baru yang diperoleh apabila kalendar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang Abdul Shukor Idrus diedarkan bersama-sama akhbar itu pada Sabtu lalu ketika sambutan Maulidur Rasul.

Selain menggunakan logo rasmi kerajaan Selangor tanpa kebenaran,akhbar itu juga didakwa menabur fitnah dan cuba mengaburi pemikiran rakyat dengan bertindak menghentam pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Faekah berkata pihaknya akan menyerahkan bukti baru itu kepada polis hari ini.

“Kami desak Kementerian Dalam Negeri, kerajaan, polis untuk siasat lebih terperinci dakwaan bahawa Umno Selangor terlibat.

“Malah penggunaan logo rasmi tanpa kebenaran adalah kesalahan serius kerana tidak menghormati undang-undang dan Sultan Selangor. Inilah penderhakaan sebenar,” katanya dalam sidang media di bangunan SUK hari ini.

Ketika ditanya dalang utama disebalik akhbar itu, beliau berkata “Datuk Noh Omar sebahagian daripada Umno Selangor.”

Faekah berkata akhbar itu juga tidak mempunyai lesen penerbitan.

Pada 17 Januari lalu kerajaan Negeri melalui seorang pegawai kanan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam terhadap akhbar berkenaan.

Namun menurut Faekah,pihaknya masih tidak menerima maklumat mengenai perkembangan terkini hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat.

Menurut Faekah, pihaknya sedia memberi bantuan kepada polis dengan mendapat khidmat penyiasat persendirian bagi mencari dalang disebalik penerbitan akhbar terbabit.

Sementara itu,ketika ditanya mengenai rombakan exo Faekah berkata beliau tidak mengetahui berhubung hal itu.

“Jika ada mesti perbincangan itu dibuat dengan exco. Saya kurang pasti kerana saya bukan dalam exco,” katanya.

Tiada ulasan: