Sabtu, 12 Februari 2011

Tujuh lanun Somalia hadapi tuduhan hukuman mati

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Tujuh rakyat Somalia yang ditahan tentera Malaysia di Teluk Aden pada 20 Januari lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melepaskan tembakan ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia di atas MT Bunga Laurel ketika merompak kapal dagang itu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin yang menetapkan 15 Mac depan untuk sebatan kes.

Ahmad Othman Jamal, Abdil Eid Hasan, Koore Mohamad Abdile, Abdi Hakim Mohd Abdi dan tiga remaja lelaki bawah umur didakwa melakukan kesalahan itu di atas MT Bunga Laurel, dengan niat untuk mendatangkan kematian atau kecederaan, di koordinat Latitud 20'14.73N Longitud 083'39.96 E, 250 batu nautika dari perairan Oman, antara 8.10 pagi dan 10 malam, 20 Januari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada hari kejadian, komando Tentera Laut Diraja Malaysia menyelamatkan kapal dagang itu daripada cengkaman lanun Somalia yang bersenjatakan raifal AK-47 dan pistol dalam misi menyelamat diberi nama “Operasi Fajar”, bersama kapal bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia, Bunga Mas 5.

Tiada ulasan: