Sabtu, 26 Februari 2011

Tugas MCA kekal masyarakat Cina dalam arus perdana

BERNAMA

MCA, parti komponen kedua terbesar BN yang akan menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-62 esok, menghadapi tugas berat dalam mengekalkan masyarakat Cina dalam arus perdana politik negara ini.


Ia ditubuhkan pada 27 Februari 1949 yang pada asasnya bertujuan untuk menyelamatkan masyarakat Cina di Malaya daripada dihantar pulang ke China, lapor Bernama.

Rancangan British tersebut terbantu dengan penubuhan MCA yang segera membuat perancangan membina rumah bagi menempatkan masyrakat Cina di perkampungan baru.

MCA kemudiannya menyediakan bantuan makanan, ubat-ubatan dan kewangan kepada penduduk di penempatan baru serta bekalan elektrik dan air paip di samping mementingkan pembinaan sekolah dan perpustakaan awam.

Perjuangan seumpama itu berubah kemudiannya dari menumpukan kepada aspek kebajikan kepada penglibatan serius dalam arus politik semasa apabila ia turut berkorban memperjuangkan kemerdekaan negara daripada penjajahan British.

Keadaan kekal relevan kepada MCA sehinggalah perjuangannya yang panjang dan disanjung rakyat itu berubah selepas berlakunya badai politik yang tidak dijangka pada pilihan raya umum Mac 2008.

Dalam pilihan raya tersebut, pengaruh MCA di kalangan masyarakat Cina dan rakyat secara umum turut merosot. Ia hanya memenangi 15 kerusi kawasan Parlimen dan 32 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), separuh daripada perolehan pilihan raya umum 2004.

Malang, apabila fenomena luar biasa tersebut tidak memberi pengajaran yang berkesan kepada MCA. Pada satu ketika berlaku pertelingkahan dan masalah dalaman dalam parti sehingga membawa kepada pertukaran pucuk pimpinan, yang akhirnya diterajui Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang tidak menyandang sebarang jawatan dalam kabinet.

MCA tidak pernah sunyi dari krisis sebelum ini. Apabila berlaku krisis, kerap berlaku perubahan pucuk pimpinan.

Dengan keadaan MCA sekarang, apa harapan masyarakat Cina kepada parti ini seterusnya. Apa hala tujunya, setidak-tidaknya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang yang sedang hangat diperkatakan.

Apa persiapan MCA bagi membantu BN kekal menerajui Putrajaya.

Mayarakat Cina dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dilihat kurang menyokong BN.

"Tetapi mengapa orang mempersalahkan masyarakat Cina. Mereka lupa tentang sokongan setia masyarakat Cina kepada BN selama ini.

"Pengundi Cina tetap menyokong penuh BN dalam pilihan raya umum 1999 (setahun selepas krisis pemecatan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) sehingga BN memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Begitu juga sokongan kepada kemenangan besar BN pada 2004," kata veteran MCA Datuk Yap Pian Hon.

Beliau yang baru dilantik sebagai ketua penerangan BN Selangor berpendapat keputusan pilihan raya umum 2008 yang mengecewakan sebagai bersifat sementara.

"Selepas 62 tahun wujud, MCA akan kekal relevan," tegasnya.

Apa cabaran dan bentuk halangan yang dihadapi MCA sekarang.

"Cabaran terbesar MCA ialah untuk mengekal perpaduan dalam parti dan memfokus kepada pilihan raya umum akan datang. Mereka perlu melihat kepada keperluan rakyat, tidak berkelahi sesama sendiri dan memenuhi kehendak peribadi, untuk merampas kembali kerusi yang terlepas," kata naib pengerusi MCA Puchong, Datuk Thean Book.

Bagi anggota jawatankuasa pusat, Loh Seng Kok, cabaran terbesar MCA ialah untuk mengembalikan semangat akar umbi bagi memenangi pilihan raya.

"Mesyuarat agung luar biasa (EGM) 13 Mac ini akan menyediakan nada dan cita rasa yang tepat ke arah itu. Pemikiran perlu diubah, jangan rasa selesa dan jangan terpesong dengan perkara lain," katanya.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata ahli parti perlu menunjukkan kekuatan parti ketika tempoh kritikal ini dengan mengenepikan perbezaan sesama mereka, yang sebagai permulaannya menyokong hasrat lebih 93 peratus perwakilan yang mahu pemilihan parti ditangguhkan.

"Ini boleh membantu menyegerakan proses pemulihan parti ekoran cakap-cakap bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi. Kita perlu bersiap sedia dari sekarang," katanya.

MCA mahu mengadakan EGM untuk mendapat mandat bagi meminda perlembagaan dan mengangguhkan pemilihan parti untuk lebih memfokus kepada pilihan raya umum.

Namun bagi Prof James Chin, MCA akan terus berdepan halangan dan tidak akan pulih sepenuhnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sentimen di peringkat bawahan, masih tidak banyak memihak kepada mereka, ujarnya.

"Mereka masih akan kehilangan beberapa kerusi. Namun Dr Chua melakukan tugas dengan lebih baik untuk partinya," kata penganalisis politik Universiti Monash ini.

Oleh itu beliau tidak terkejut sekiranya BN bekerja keras untuk menambah sokongan di kalangan pengundi Melayu dan India bagi menampung kehilangan sokongan daripada pengundi Cina.

"Tambahan pula, kerusi yang mempunyai majoriti penduduk Cina di Semenanjung Malaysia hanyalah 15. Kita bercakap mengenai kerusi Parlimen di mana terdapat lebih 60 peratus pengundi Cina.

"Ini sukar bagi MCA untuk mengekalkan masyarakat Cina di dalam arus perdana," katanya.


Tiada ulasan: