Ahad, 6 Februari 2011

TUBUH SURUHANJAYA SIASAT JENAYAH PLUMBUM

Oleh: MUTALIB M.D

PARTI Keadilan Rakyat Sabah (PKR) menggesa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja atau Kertas Putih untuk mengkaji kesan keracunan plumbum akibat penggunaan bateri asid plumbum dalam sistem elektrik solar hibrid di lebih 100 buah sekolah di Sabah.

Naib Ketua PKR Batu Sapi, Zainuddin Hassan menegaskan pihaknya bimbang ekoran pendedahan Sabahkini.net berhubung bahaya plumbum terutama sistem elektrik solar hybrid yang dipasang di empat buah sekolah di Pulau Timbang di Batu Sapi.

“Kita mendesak agar Kerajaan Persekutuan bertanggung jawab terhadap jenayah yang mereka lakukan dengan mengheret penjenayah sebenar ke muka pengadilan terutama pihak yang meluluskan penggunaan bateri plumbum yang berbahaya kepada kanak-kanak dan diharamkan di negara maju,” ujar Zainuddin yang kesal kerana krisis lambakan dan keracunan plumbum semakin serius di Sabah.

Zainuddin menekankan, Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien wajib meletakkan jawatan kerana meluluskan projek pemasangan elektrik solar menggunakan bateri asid plumbum sehingga menyebabkan lebih 100,000 kanak-kanak sekolah di luar bandar terdedah kepada bahaya keracunan plumbum dan kini ramai di antara mereka mengalami kerencatan mental, kegagalan psikomotor dan menghidapi pelbagai penyakit berbahaya.

“Kita akan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kita pasti ada yang tidak kena dengan kontrak membekal sistem solar hibrid kerana dimonopoli oleh empat syarikat utama tanpa tawaran tender dan 20 kali ganda daripada harga pasaran,” ujar Zainuddin lagi.

Pihaknya, kata Zainuddin akan turut membuat laporan polis agar menjalankan siasatan bagaimana bateri plumbum boleh diimport dan dibawa masuk ke Sabah tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar; apatah lagi Sabah tidak mempunyai Pusat Pelupusan Plumbum.

“Kita mendapat maklumat daripada nelayan, bahawa kontraktor yang dilantik untuk melupuskan bateri berkenaan telah bertindak membuang bateri berkenaan ke laut, sungai dan ada yang di tanam di pinggir laut sehingga membahayakan hidupan laut dan manusia,” ujar Zainuddin yang mendesak kajian menyeluruh dijalankan Jabatan Alam Sekitar dan polis bagi memastikan penjenayah alam sekitar ini tidak lepas bebas begitu sahaja.

Zainuddin turut membidas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Shirlin yang gagal bertindak segera untuk mengharamkan penggunakan bateri plumbum di semua sekolah di Sabah sedangkan Pusat Racun Negara sudah menjalankan kajian bahaya plumbum di Sabah pada 1996 lagi.

Sebagai Timbalan Menteri yang berasal dari Sabah, Zainuddin menggesa agar Rosnah lebih bertanggung jawab dengan menjalankan ujian darah bagi semua kanak-kanak sekolah sejak bateri asid plumbum digunakan secara meluas pada 2008 bagi mengenal pasti tahap kesihatan fizikal dan mental bagi mereka yang terdedah kepada bahaya plumbum.

“Dalam hal ini, kita tidak akan bertolak ansur kerana kita tidak mahu generasi akan datang mengalami kecacatan mental, terutama janin dan ibu-ibu mengandung,” kata Zainuddin yang menjelaskan keracunan plumbum di Ranau akibat kegiatan perlombongan tembaga di Mamut memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada rakyat Sabah.

Zainuddin mendedahkan mungkin akibat kesan plumbum, beberapa buah sekolah rendah di Semporna gagal mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR sehingga tidak ada pelajar yang mendapat A walaupun dalam satu subjek.

“Kita tidak mahu kejadian ini berlaku di Batu Sapi dan kita desak agar Menteri Pelajaran sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil tindakan segera sebelum terlambat untuk menggantikan bateri asid plumbum dengan bateri lithium yang mesra alam dan boleh dikitar semula,” ujar Zainuddin lagi yang menjelaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur berhubung soal kesihatan dan keselamatan nyawa penduduk Batu Sapi.

Tiada ulasan: