Jumaat, 25 Februari 2011

Tiada sebarang senjata dijumpai di pejabat SPRM

BERNAMA

Usaha mencari alat senjata dilakukan oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri di keseluruhan pejabat iaitu di tingkat 14 dan 15 di Plaza Masalam.


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang senjata seperti kayu dan paip besi dijumpai di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Usaha mencari alat senjata berkenaan dilakukan oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri di keseluruhan pejabat iaitu di tingkat 14 dan 15 di Plaza Masalam.

Ahmad Nazri berkata beliau mencari senjata itu di pejabat pegawai penyiasat SPRM Anuar Ismail dan Mohd Ashraf Mohd Yunus (pegawai yang menyoal siasat Teoh), tandas, siling dan kawasan sekitar.

Beliau juga memberitahu tidak menemui sebarang kesan pergelutan di pejabat tersebut.

Ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili SPRM terhadap dakwaan Teoh dipukul di kepala untuk mematikannya dan adakah beliau melihat darah di kepalanya meleleh (seperti lelehan pada orang sedang berdiri) dan melekat di seluruh bahagian kolar baju, Ahmad Nazri berkata,

“Hasil pemeriksaan pada mayat Teoh di tempat kejadian mendapati terdapat sedikit kesan darah di sebelah kolar kanan.”

Katanya, darah pada kepala Teoh juga lebih banyak mengalir ke lantai.

Ahmad Nazri yang merupakan saksi ke-12 turut ditanya mengenai dakwaan bahawa sebelum Teoh jatuh, ada sesuatu benda yang keras disula masuk ke dalam punggung hingga menyebabkan beliau cedera parah tetapi, sepertimana dalam inkues terdahulu beliau menegaskan tiada bukti yang menunjukkan sedemikian.

Beliau juga menegaskan sekali lagi bahawa seluar Teoh koyak disebabkan hentakan tulang dari bahagian dalam ke bahagian luar.

Ahmad Nazri turut memberitahu bahawa pada hari yang sama Teoh disoal siasat, Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, kontraktor Lee Wai Leng dan seorang lagi kontraktor bernama Harun juga dipanggil memberi keterangan.

Ditanya adakah mereka membuat aduan telah dianiayai dan dikasari pegawai SPRM, Ahmad Nazri berkata: “Saya hanya ingat Boon Wah yang dia ada kata diarahkan berdiri beberapa jam dan tidak dibenarkan duduk dan ada pegawai yang mengacu-gacukan tangan padanya. Dua lagi itu tiada aduan.”

Menyentuh mengenai nota yang ditinggal Teoh, Ahmad Nazri berkata isi kandungannya tidak menyatakan beliau dicederakan atau dipukul.

Di awal prosiding Ahmad Nazri berkata sekiranya kepala jam tangan Teoh dijumpai ia berkemungkinan dapat menentukan waktu beliau meninggal dunia.

Bagaimanapun ketepatannya hanya boleh ditentukan sekiranya kepala jam tersebut terhenti ketika Teoh jatuh.

Ekoran menyedari betapa pentingnya jam tersebut, beliau dan beberapa pegawai polis lain berusaha mencarinya berkali-kali meliputi kawasan mangsa ditemui dan juga di tempat lain tetapi gagal menemuinya dan hanya tali jam tangan yang ditemui.

Ahmad Nazri juga memberitahu suruhanjaya bahawa satu eksperimen dengan menggunakan patung dan botol berisi air dilakukan bagi mengetahui kedudukan simati apabila jatuh dari tingkap pejabat SPRM di tingkat 14.

Bagaimanapun ia tidak dapat ditentukan kerana berat badan simati tidak sama dengan bahan yang digunakan.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk T.Selventhiranathan yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Pakar

Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘keputusan terbuka’ berhubung kematian Teoh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Sementara itu di awal prosiding juga Foong mengumumkan bahawa Michael Leslie Squires Michael yang dilantik sebagai pegawai penyiasat pernah memberi nasihat dalam modul akademi latihan pegawai SPRM tetapi tidak mempunyai secara langsung (kerja) dengan SPRM.

Prosiding disambung Isnin depan


Tiada ulasan: