Ahad, 6 Februari 2011

Tetap berhimpun sokong ADUN Sri Muda

PASPB

SHAH ALAM.: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) tetap berhimpun di depan Mahkamah Sesyen, di sini, Isnin ini, bagi menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, pihaknya tetap akan berkumpul walaupun polis telah melarang untuk berbuat demikian.

“Mahkamah merupakan tempat awam, sesiapa sahaja berhak untuk berkumpul di situ.

“Kami tidak berniat untuk menimbulkan sebarang kekecohan dan tindakan kami bukannya untuk melanggar undang-undang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah meminta semua pihak supaya menghormati undang-undang dengan tidak menyertai perhimpunan haram tersebut.

“Saya memberi amaran kepada pihak yang cuba untuk mencetuskan ketegangan dan terbabit dalam perhimpunan haram di depan mahkamah.

“Pihak kami akan bertindak tegas dan tidak teragak-agak untuk bertindak jika berlaku sebarang kekecohan,” katanya.

Khamis lalu, Shuhaimi ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 berikutan tulisan dalam blognya yang dikatakan menghina dan menghasut orang ramai supaya menentang institusi raja.

Shuhaimi akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin ini mengikut Seksyen 4 (1) (c) akta tersebut.

Tiada ulasan: