Isnin, 21 Februari 2011

Tarikh Serentak: PAS Pahang Tak Gentar

TVS NEWS


SHAH ALAM : Walaupun diumumkan tarikh pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang PAS tidak gentar mahupun tertekan untuk menghadapi hari penamaan calon yang akan berlangsung enam hari lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Tv Selangor berkata, walaupun terkejut dengan keputusan yang diumumkan, namun pihaknya sudah melakukan persediaan awal bagi menghadapi situasi tersebut.

“Dari sudut jentera bilik gerakan operasi peringkat bawahan sehingga di peringkat peti-peti undi, jentera itu digerakkan lebih awal sebenarnya. Cuma bila kita dimaklum, semalam pun di peringkat negeri kita dah putuskan persiapan tenaga-tenaga tambahan dari negeri lain. Negeri lain akan turut membantu jentera negeri Pahang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai hari penamaan calon dan 6 Mac adalah hari pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang, iatu sama tarikh dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sidang media, 18 Februari lalu.

Kerusi Kerdau kosong selepas penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, daripada BN, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin mendapat 2,520 undi.

Kawasan DUN Kerdau mempunyai 8,999 pemilih berdaftar, termasuk 8,984 pemilih biasa dan 15 pemilih pos.

Tiada ulasan: