Ahad, 20 Februari 2011

Tanah dirampas bina hidro elektrik: Orang asal Sarawak berdemo di LCCT

SELANGOR KINI

SEPANG – Masyarakat Orang Asal Sarawak menentang keras cadangan kerajaan negeri untuk membangunkan 12 kawasan yang dikenalpasti untuk dijadikan empangan hidro elektrik di negeri Sarawak.


Pagi kelmarin 10 orang rombongan masyarakat Asal Sarawak tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah(LCCT) bertujuan untuk menyeru rakyat Sarawak supaya memberikan isyarat jelas kepada kerajaan negeri dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurut jurucakap kumpulan berkenaan, Jemat Panjang masalah pengambilalihan ini akan menyukarkan masyarakat Asal untuk mengusahakan pertanian.

“Masyarakat Asal Sarawak tidak mempunyai hak ke atas tanah mereka sendiri dan sewenang-wenangnya pengambilalihan tanah ini oleh kroni-kroni tertentu maka rakyat menghadapi kesukaran mengusahakannya. Ia sudah pasti dimiliki oleh orang lain dan menimbulkan kegusaran kepada penduduk tempatan. Kita tidak akan berdiam nak maklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa sekarang bukanlah masanya untuk mengaut semua hasil maksul rakyat Asal,” katanya.

Pembinaan empangan ini didakwa mempunyai agenda tersendiri dan memudahkan usaha untuk menidakkan hak masyarakat Asal.

“Kita betul-betul menentang dan tidak bersetuju dan kita minta seluruh rakyat negeri Sarawak supaya dalam pilihanraya umum ini memberikan isyarat yang cukup keras kepada mereka supaya mereka tidak melakukan perbuatan itu sewenang-wenangnya,” katanya.

Jemat menambah, pihak kerajaan juga menjanjikan beberapa pampasan berbentuk tanah dan kewangan sekiranya penduduk bersetuju untuk berpindah dan tanah mereka diambil untuk perlaksanaan projek.

“Janji memang ada tetapi dari segi perlaksanaan memang menyedihkan. Janji tetap manis namun tidak ditepati oleh pihak-pihak berwajib. Bila ada kritikan mereka akan turun untuk memberikan sedikit kemanisan untuk memastikan rakyat lega tetapi bukan itu yang kita persetujui. Itu hanya mainan politik semata-mata,” katanya.

Perjanjian untuk projek telah dimaklumkan sejak tahun 2009.

12 kawasan yang bakal dijadikan empangan adalah Lawas, Limbang, Baram, Belepeh, Murum Linau, Belaga, Baleh, Mejawah, Tutoh, Ulu Air dan Bakun.

Empangan Batang Ai sudah siap dan telah mula beroperasi untuk kegunaan negeri Sarawak.

Kehadiran Orang Asal di LCCT hari ini menarik perhatian ramai. Mereka yang hadir memakai baju hitam tertera tulisan “ Return Native Lands Sarawak”, “Repair Lapok Road” dan “Stop Sarawak Dam”.

Masyarakat Asal terdiri daripada kaum Dayak Kayan, Iban Bidayuh dan termasuk masyarakat Melayu Sarawak.

Tiada ulasan: