Isnin, 14 Februari 2011

Tambah polis jika penubuhan unit pasukan Polis Bantuan ditolak – Khalid

SELANGOR KINI


PETALING JAYA- Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Kerajaan Pusat untuk menambah bilangan anggota polis jika tidak mahu membenarkan penubuhan unit Polis Bantuan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada media di selepas Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu di sini semalam.

“Kerajaan Negeri berpendapat, sehingga polis meningkatkan tenaga kerja, kita minta tambah Auxiliary Police (Polis Bantuan) ini. Jadi kalau Kerajaan Pusat kata tak boleh buat Auxiliary Police ni, tambah sahaja Polis, ini saya rasa tak jadi masalah besar,” kata Tan Sri Khalid.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menggesa Kementerian Dalam Negeri


( KDN ) mempertimbangkan permohonan penubuhan pasukan polis bantuan bagi menangani kadar jenayah yang semakin meningkat di negeri itu.

Langkah ini ekoran timbulnya kebimbangan serius di kalangan rakyat Selangor serta selaras dengan hasrat kerajaan Negeri yang mengambil langkah konkrit bagi mengatasi permasalahan tersebut.

Bagaimanapun kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatakan cadangan Menteri Besar Selangor itu untuk menubuhkan polis bantuan di negeri itu seolah-olah satu tanda beliau tidak menghargai sumbangan dan kejayaan Polis Diraja Malaysia dalam menangani jenayah serta menegakkan keamanan di negara ini.

Khalid menafikan perkara ini kerana permintaan beliau ialah bagi memenuhi tanggungjawab kepada rakyat dan bukannya memperkecilkan usaha pasukan Polis.

“Kita buat sebab kita tak nak rakyat cakap Kerajaan Negeri tak buat apa-apa. Polis dah buat kerja sedaya upaya. Tak siapa nak masalah jenayah. Saya tak kata Polis tak buat kerja. Mereka jalankan kerja dengan cara terbaik dalam kadar dan terhad,” katanya.

Tiada ulasan: