Selasa, 22 Februari 2011

Syarikat Singapura keluarkan pekerja Singapura, Malaysia dari Libya

BERNAMA

SINGAPURA — Sebuah syarikat Singapura mengeluarkan 31 pekerjanya terutama warga Singapura dan Malaysia, dari tapak operasinya di Libya, yang kini berdepan dengan kemelut dalaman.

Menurut Boustead Singapore, syarikat berjaya menghantar balik enam pekerja Singapura dan Malaysia semalam yang bekerja di projek perbandaran Al-Marj di Tripoli.

Tiga lagi meninggalkan Tripoli untuk ke Filipina.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia membawa balik pekerjanya dengan selamat setelah berlakunya demonstrasi dan keganasan di beberapa bandar utama di timur Libya.

Syarikat itu juga mengatur supaya semua kakitangan Boustead, yang terlibat dalam projek itu termasuk yang tinggal di Tripoli, diterbangkan keluar dari Libya dengan penerbangan paling awal yang ada.

Menurut syarikat itu, ia menggantung semua operasi di Libya sehingga keamanan pulih dan keadaan politik dapat memastikan keselamatan kakitangannya.

Kawalan terhadap projek perbandaran itu kini diambil alih oleh rakan usaha samanya, General Construction & Building Company yang akan meneruskan kerja-kerja pembinaan.

Tiada ulasan: