Rabu, 2 Februari 2011

Status tuntutan saman Sosilawati terhadap Nash diketahui 3 Mei

BERNAMA

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 3 Mei depan untuk mengetahui status permohonan tuntutan RM1.38 juta yang difailkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang dipercayai dibunuh bersama tiga individu lain, terhadap bekas suaminya, penyanyi Nash.

Hakim Syarie Mohammad Adib Hussain menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau akan berbincang dengan waris Sosilawati bagi mendapatkan kata putus mereka berhubung permohonan tersebut.
Sosilawati, 47, dikatakan telah dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada 30 Ogos tahun lalu.

Pada 13 Oktober tahun lalu, bekas peguam, N Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas tuduhan membunuh keempat-empat mangsa.

Dua lagi pekerja ladang, K Sarawanan, 27, dan U Suresh, 20, pula dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan kejam itu.

Terdahulu, Mohd Zaidi berkata sehingga kini pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan DNA (asid deoksiribonukleik) adalah kepunyaan Sosilawati dan beliau telah memaklumkan kepada keluarga pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages itu bahawa mereka perlu menunggu keputusan daripada pihak berkuasa.

"Mereka (keluarga Sosilawati) memohon agar diberikan sedikit masa untuk berbincang sekiranya mahu meneruskan permohonan ini," katanya.

Permohonan untuk menangguhkan kes itu tidak dibantah oleh peguam syarie Amli Embong yang mewakili Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias kerana ia adalah bagi keadilan semua pihak.

Amli berkata, jika waris Sosilawati berhasrat untuk meneruskan permohonan, mereka perlu memfailkan beberapa pindaan dalam permohonan asal seperti memasukkan sijil kematian jutawan kosmetik itu.

Atas persetujuan bersama, Mohammad Adib kemudian menetapkan 3 Mei depan sebutan semula kes.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk perbicaraan kes itu yang mana pada prosiding terakhir pada 26 Ogos tahun lalu, Sosilawati melalui keterangan bertulisnya mendakwa wang RM1.38 juta itu diperoleh sebelum beliau berkahwin dengan Nash.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Zaidi berkata beliau telah berjumpa dengan anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, pada 9 Januari lalu.

"Rita (Erni Dekritawati Yuliana) memberitahu dia masih belum berbincang dengan adik-beradik yang lain sama ada mahu meneruskan kes atau tidak. Ia masih belum dimuktamatkan," katanya.

Sosilawati memfailkan permohonan itu pada 21 November 2009 untuk menuntut semula RM1.38 juta yang mana RM200,000 daripada jumlah itu dilaburkan ke dalam Amanah Saham Bumiputera dan RM200,000 pula di dalam Amanah Saham Wawasan.

Selain itu, RM500,000 dilaburkan dalam dua akaun saham Public Mutual Berhad dan baki RM480,000 digunakan untuk membayar hutang pinjaman bank sebuah rumah teres dua tingkat kepunyaan Nash.

Nash, 51, yang juga vokalis kumpulan Lefthanded berkahwin dengan Sosilawati di Batu Pahat, Johor, pada 16 November 2006 dan bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini pada 26 Mei 2009.

Tiada ulasan: