Sabtu, 12 Februari 2011

SPR perlu pecah ‘penjara minda’

Ismail Hashim

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera memecahkan 'penjara minda' yang selama ini menjadi masalah besar kepada mereka untuk melakukan perubahan ke arah lebih baik.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata SPR sewajarnya tidak menjadikan perkara mudah dan remeh sebagai halangan jika mahu menjadikan sistem pilihan raya bergerak maju.

Antara yang mesti segera dilaksanakan, tegasnya, adalah pendaftaran automatik untuk setiap rakyat Malaysia yang layak dan kelayakan umur diturunkan dari 21 kepada 18 tahun.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata demikian ketika memberikan pandangan dalam Debat Daftar Pengundi; Wajarkah Diwajibkan dekat sini semalam.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Setiausaha Pilihan Raya, Datuk Noordin Che Ngah dan Penasihat Fomca, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan turut serta sebagai panelis wacana.

Bercakap lebih lanjut atas isu sama, Fuziah berkata, pendaftaran dan minat untuk keluar mengundi adalah dua perkara yang berlainan yang mesti diperhatikan dengan sebaiknya kerana sekarang wujud berbagai pandangan negatif kepada sistem pilihan raya negara.

"SPR jangan hanya bercakap tentang masalah sahaja itu ini sebaliknya mesti positif dengan semua gerak kerja yang senang dan boleh dibuat jika mereka ingin lakukan," tegasnya sambil dipersetujui oleh Saifuddin.

Fuziah berkata, golongan muda juga adalah mereka yang hanya akan memberikan perhatian berat kepada bentuk pengundian di negara ini jika pemimpin politik bercakap tentang fitrah manusia yang menyentuh hati mereka.

Kelemahan pemimpin politik yang sangat ketara sekarang ini, jelasnya, mereka sudah tidak membawa isu yang dekat dengan jiwa dan kehendak anggota masyarakat, rakyat dan pengundi.

Kerana itu, tambahnya, minat rakyat terhadap keinginan untuk mengundi perlu dipertingkatkan, mendidik mereka sehingga menjadi penghayatan di dalam hidup dan mereka mahu kepada kebaikan.

Ketika memberikan respons kepada jawapan wakil SPR yang menyatakan sukar untuk mengubah akta pilihan raya di dalam Parlimen, Fuziah berkata, sangat mudah untuk mendapat sokongan dua pertiga kerana semua anggota Parlimen Pakatan Rakyat pasti akan menyokong.

Apa yang perlu sekarang, soalnya, apakah mereka berwajib hendak lakukan atau tidak, itu sahaja kerana ada di antara perubahan yang boleh dilakukan tidak perlu dipinda, memadai dengan kehendak mereka (political will) sahaja.

Dalam wacana yang berlangsung dalam keadaan mesra dan bermanfaat itu, kelihatan Saifuddin banyak bersetuju dengan idea bernas yang dikemukakan Fuziah.

Tiada ulasan: