Selasa, 15 Februari 2011

Selangor minta Kerajaan Pusat tarik balik lesen konsesi air SYABAS

BERITA HARIAN ONLINE

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata Kerajaan Persekutuan perlu menarik balik lesen konsesi pembekalan air di Selangor oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana syarikat itu didakwa melanggar perjanjian konsesi.

Beliau berkata Pengawal Selia Air Selangor iaitu Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Datuk Nordin Sulaiman telah menulis surat kepada kerajaanPersekutuan dan Syabas bahawa tindakan syarikat itu mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan negeri kepada rakyatnya untuk Tabung Budi adalah menyalahi perjanjian konsesi.

"Jadi ini (tarik balik konsesi pembekalan air) telah ditulis surat oleh Pengawal Selia Air, kita masih menunggu jawapan daripada kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

SYABAS telah menubuhkan Tabung Budi pada 24 Ogos 2009 melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas untuk dimasukkan ke dalam tabung itu.

Wang kutipan itu akan disalurkan kepada golongan kurang kemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

Abdul Khalid berkata Pengawal Selia Air Selangor adalah satu lantikan pegawai kerajaan negeri untuk memantau perjalanan penswastaan bekalan air di Selangor semasa perjanjian konsesi bekalan air ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan serta Syabas pada tahun 2004.

Tiada ulasan: