Jumaat, 18 Februari 2011

Seandainya undi Melayu kembali ke pangkuan BN...

Lim Yew Chien

Keputusan PRK Tenang secara jelas menunjukkan undi Melayu kembali ke Barisan Nasional. Namun, adakah keputusan ini cukup untuk dijadikan sebagai petanda bagi seluruh negara? Mungkin tidak. Tenang pada asalnya adalah kubu BN, dan terletak di Johor, negeri yang merupakan kubu paling kukuh bagi UMNO. Secara perbandingannya, PAS mungkin belum bertapak di kawasan itu selama ini.

Lebih-lebih lagi, ia adalah satu pilihan raya kecil. BN menumpukan segala sumber untuk menyerang satu kawasan yang memang dikuasai jaringan tempatannya. Tambahan pula, terdapat kawasan FELDA yang menjadi gedung undi BN. Oleh itu, bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila BN merangkul kebanyakan undi Melayu.

Sesungguhnya, seandainya PRK Tenang sekadar "kes terasing" antara pilihan raya kecil yang lalu, maka ia tidak begitu jelas sebagai petanda untuk menunjukkan pola di mana undi Melayu telah kembali ke pangkuan BN. Namun, seandainya pengalaman PRK lalu menunjukkan pola undi Melayu kembali ke BN, maka PRK Tenang mungkin menjadi satu lagi kes yang mengesahkan pola ini.

Undi Melayu mempengaruhi kawasan campuran

Pola undi Melayu di Semenanjung Malaysia tidak semestinya sama di mana-mana saja. Perbezaan antara bandar-desa, kedudukan geografi, pengaruh parti politik di tempatan, faktor tempatannya dan sebagainya, bakal mempengaruhi pola tersebut. Namun, ketika kenyataan "undi Melayu kembali ke BN" dibangkitkan, ia sebenarnya merujuk kepada keputusan PRU ke-12.

Untuk penduduk di Semenanjung, tsunami politik pada 8 Mac 2008 adalah hasil daripada gelombang ketidakpuasan dari seluruh negara. Jelas, undi Cina memihak kepada parti politik yang kemudiannya membentuk PR. Namun demikian, di bawah sistem pilihan raya kita, tidak banyak kawasan pengundian yang berubah keputusannya hanya perubahan pola pengundian Cina. Pada kebanyakan masanya, undi Cina mungkin hanya berperanan untuk meningkatkan undi majoriti di sesetengah kawasan.

Antara yang istimewa dengan PRU ke-12 adalah, kawasan campuran yang dahulunya dimenangi BN dengan mudah, kini jatuh ke tangan PR. Pola pengundian yang berubah di kawasan campuran bukan hanya dijuruskan undi Cina, tetapi undi Melayu yang juga berperanan penting. Seandainya undi Melayu kembali ke BN, maka kawasan campuran yang asalnya dimenangi PR, atau lebih tepat, kawasan pengundian di "pinggiran" dengan margin yang tipis - akan menjadi genting (untuk PR).

Risiko kembalinya politik lama

Seandainya PR tewas di "kawasan pinggiran" ini, maka 8 Mac 2008 adalah fenomena yang muncul hanya sekelip mata dalam sejarah. Politik lama "sebelum 8 Mac" akan kembali menjelma. Maka, BN pasti akan menggunakan "suara rakyat" untuk menekan suara bantahan (misalnya mengetatkan akta zalim yang menyekat kebebasan bersuara); malah mungkin menggunakan majoriti dua pertiga dalam parlimen untuk mengukuhkan kuasa selama-lamanya, di samping meleraikan kuasa pembangkang.

Analisa sedemikian sememangnya pesimis, namun bukan sesuatu yang sukar untuk dibayangkan oleh mereka yang berprihatin terhadap politik tanahair. Kuncinya, apakah perkembangan seterusnya.

Walaupun perjumpaan antara Najib dengan wakil rakyat BN, dan Ketua Bahagian UMNO di seluruh negara, tidak semestinya mengisyaratkan bahawa langkah pilihan raya umum semakin hampir, namun apa yang pasti, ia menunjukkan bahawa Najib sedang berada dalam peringkat persediaan untuk PRU akan datang.

3 kategori pengundi Melayu

Pada hakikatnya, pengundi Melayu yang menolak BN dalam PRU ke-12 mungkin boleh terbahagi kepada tiga kategori: Pertama, pengundi muda yang mendahagakan politik baru; Kedua, pegundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan Abdullah Ahmad Badawi yang lemah, berubah-ubah dasarnya, dan kepimpinan yang tidak terserlah; Ketiga, mereka yang tidak mendapat sumber dalam UMNO, atau mereka yang mahu menjatuhkan sekta Abdullah untuk mengolak selangkah ke atas tangga dalam UMNO.

Setelah Abdullah Ahmad Badawi berundur, pengundi kategori kedua hilang alasan untuk terus menyokong PR. Pengundi kategori ketiga pula, mungkin telah menyesal sebaik sahaja keputusan PRU ke-12 diumumkan. Mereka mungkin menyesal kerana "hukuman yang dijatuhkan" terlalu berat sehingga UMNO kehilangan kuasa di Selangor yang kaya dengan sumber, malah menggugat kuasa kerajaan persekutuan. Projek mega yang digerakkan Najib menandakan lebih banyak sumber yang bakal diagihkan kepada anggota dalam parti. Oleh itu, kembalinya sokongan kepada BN dari pengundi kategori ketiga kelihatan sudah menjadi satu kemestian.

Pengundi muda kategori pertama masih tidak jelas kecenderungannya. Sebahagian pengundi dalam kategori ini mungkin telah menjadi, dan akan terus menjadi asas sokongan PR. Namun, mereka yang menaruh harapan tinggi terhadap politik baru juga mungkin lebih mudah kecewa terhadap kekecohan yang berlaku dalam PR (terutamanya PKR), dan berputus asa untuk menyokong PR.

Namun pengundi kategori ini tetap harapan terakhir untuk PR. Seandainya PR tidak mahu ranap sepenuhnya dalam PRU akan datang, maka PR perlu menumpukan tenaganya untuk menjangkau pengundi kategori ini (pengundi muda Melayu) - selain kedua-dua parti pembangkang yang lama, PAS dan DAP yang perlu mengukuhkan asas sokongan masing-masing. Apa yang menarik, gerak geri BN baru-baru ini turut menyasarkan pengundi kategori ini.

*Lim Yew Chien pernah menjadi pengacara rancangan forum isu semasa, juga kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Tiada ulasan: